Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham: Pastikan pengundi keluar, tambah majoriti BN
Diterbitkan:  May 4, 2015 9:00 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Jentera BN di 38 pusat daerah mengundi (PDM) digesa memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin esok.

Ketua Penyelaras Jentera BN PRK Rompin Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia bagi memastikan sasaran 85 peratus penduduk keluar mengundi sekaligus meningkatkan jumlah majoriti BN.

"Jentera BN cari pengundi-pengundi, pastikan mereka mengundi pada Selasa ini," katanya ketika melakukan lawatan di bilik gerakan BN Keratong 8 di Muadzam Shah malam tadi.

Beliau berkata jentera pergerakan Pemuda BN juga diminta membantu dari segi kenderaan bagi membawa pengundi yang mempunyai masalah pengangkutan.

Hishammuddin berkata beliau percaya jentera BN mampu melaksanakan tugas dengan berkesan kerana struktur kerja petugas parti di kawasan Parlimen Rompin merupakan antara yang terbaik di negara ini.

Parlimen Rompin perlu terus kekal menjadi kubu kuat BN bagi memastikan agenda pembangunan rakyat dapat terus dilaksanakan.

Seramai 52,744 pengundi yang layak mengundi Selasa ini.

Sejumlah 464 daripada 545 pengundi awal telah mengundi pada Khamis lepas.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS