Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis minta henti spekulasi kes nahas di DUKE
Diterbitkan:  May 4, 2015 9:13 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Polis meminta semua pihak termasuk media supaya menghentikan sebarang spekulasi mengenai kes kemalangan di Lebuhraya DUKE di ibunegara yang mengakibatkan tiga kematian termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan, kelmarin.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata kenyataan yang tidak tepat mengenai insiden itu boleh menjejaskan siasatan polis dalam usaha mendapatkan kebenaran.

Dalam kenyataan semalam, beliau memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.

"Pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku akan tetap dibawa ke mahkamah untuk didakwa," katanya.

Mohd Fuad berkata polis telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang perempuan berumur 35 tahun susulan kemalangan maut itu.

   

Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata kedua-dua individu yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki melaporkan diri semula ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dalam masa dua minggu ini.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menggesa orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan polis.

Kelmarin, sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas kira-kira pukul 1.05 pagi membabitkan tiga kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya DUKE.

Pasangan itu ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan Mitsubishi Pajero yang dipandu Fairuz Nizam dan dua Perodua Myvi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS