Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Miros bantu siasat nahas lebuhraya DUKE
Diterbitkan:  May 4, 2015 7:40 PM
Dikemaskini: 11:43 AM

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan berhubung nahas di Lebuhraya Duke, Sabtu lalu.

    

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti punca kemalangan.

    

"Siasatan terperinci akan dijalankan dan hukuman seperti menggantung lesen boleh diambil sekiranya terbukti ada kecuaian dalam pemanduan," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa di Taman Batu Muda, Batu Caves di Kuala Lumpur, hari ini.

    

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 1.05 pagi itu, sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Km 6.2 Lebuhraya Duke dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.

    

Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa.

Abdul Aziz turut memberi jaminan tiada unsur pilih kasih dalam siasatan yang akan dijalankan.

    

Sementara itu, bagi membantu keluarga mangsa, beliau berkata satu akaun tabungan akan diwujudkan dengan kerjasama Yayasan Pewaris bahagian Batu.

    

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu menjalankan penguatkuasaan lebih rapi khususnya pada malam minggu bagi memantau kegiatan lumba haram selain memastikan pengguna jalan raya yang lain tidak menjadi mangsa keadaan.

    

Ditanya mengenai kewajaran kelab kenderaan supaya berdaftar dengan JPJ, beliau berkata kementerian akan membuat kajian berhubung perkara itu termasuk mengadakan bengkel bagi mencari kaedah sesuai untuk kelab tersebut beroperasi.

    

Dalam lawatan sejam itu Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS