Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pmtg Pauh: Keluarga pasang dua bendera parti
Diterbitkan:  May 5, 2015 9:00 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Walaupun berbeza fahaman politik namun itu tidak menghalang sebuah keluarga di Kampung Tun Sardon, Ara Kuda dekat Bukit Mertajam hidup gembira dan boleh menghias rumah mereka dengan dua bendera parti politik bersempena pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
 
Ketua keluarga berkenaan Abdul Rahim Talib, 53, berkata beliau dan isteri Puteh Idris, 50, merupakan ahli PAS sejak 20 tahun lepas namun tiga anak  mereka berusia 25 hingga 27 tahun adalah penyokong kuat BN.
 
"Tidak menjadi halangan atau masalah kepada kami untuk memasang bendera PAS dan BN di hadapan rumah bersempena pilihan raya kali ini dan saya juga selama ini tidak pernah menyekat kebebasan anak-anak saya untuk menyokong BN kerana itu pilihan mereka.
 
"Lagipun saya tidak boleh paksa dua anak lelaki dan seorang anak perempuan saya itu untuk menyokong fahaman politik yang sama dengan saya serta isteri. Mereka berhak untuk pilih parti apa-apa sahaja kerana agama Islam sendiri kata tidak boleh memaksa orang, agama (Islam) kita cantik dan indah. Itu hak mereka," katanya kepada Bernama semalam.
 
Beliau berkata dua anak lelakinya Mohd Firdaus, 29, dan Mohd Fauzi, 25, serta anak perempuannya Siti Fatimah, 27, memilih BN kerana mereka  parti itu banyak menyediakan peluang kepada golongan muda seperti mereka.
 
"Firdaus yang telah berkahwin dan mempunyai tiga anak serta Fauzi menetap bersama saya manakala Fatimah yang juga telah berkahwin tinggal di Penaga  (Kepala Batas, Seberang Perai Utara) serta selalu pulang ke rumah saya. Jika timbul isu-isu politik kami akan berbincang dan berkongsi maklumat antara satu sama lain," katanya.
 
Firdaus bekerja di sebuah kilang di Perai manakala Fauzi dalam bidang perhotelan.
 
"Walaupun kami berbeza parti dan fahaman politik saya dan anak-anak tetap menghormati antara satu sama lain kerana tinggal di bawah bumbung yang sama, lagipun kenapa hendak berpecah atau bergaduh disebabkan politik," katanya.
 
Abdul Rahim yang bekerja sebagai pemandu lori sebuah syarikat swasta berkata walaupun PAS tidak bertanding pada PRK Permatang Pauh, keadaan itu tidak menghalang beliau memasang bendera PAS bagi menunjukkan perpaduan di kalangan parti Islam.
 
Katanya beliau akan keluar mengundi pada hari Khamis ini namun sehingga hari ini masih belum membuat keputusan untuk mengundi mana-mana calon daripada parti yang bertanding.
 
Abdul Rahim berkata pada PRK Permatang Pauh kali ini, beliau juga tidak terlibat aktiviti berkempen dan lebih senang hanya melihat dan mendengar sahaja  berbanding pilihan raya sebelum ini.
 
"Dua-dua parti (PKR dan BN) ada baik dan buruknya, cuma kali ini saya memang langsung tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkempen, kalau dulu memang saya antara yang aktif membantu kempen tapi kali ini perasaan itu berbeza," katanya.
 
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah  Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM), dan calon Bebas, Salleh Isahak.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS