Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR kini bimbang kemungkinan bakal berdepan kekalahan dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh apabila hasil tinjauan parti itu mendapati hanya 68 peratus yang akan keluar mengundi.

Pengarah Strateginya Sim Tze Tzin berkata pihaknya memperolehi dapatan tersebut membuat tinjauan terhadap 1,000 pengundi Permatang Pauh melalui panggilan telefon.

Beliau berkata pihaknya khuatir apabila kekalahan pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan akan berlaku di kawasan itu jika jumlah yang akan keluar mengundi kurang daripada 70 peratus.

"Kita ada tanya kepada mereka adakah akan pulang mengundi. Tetapi kurang dari 70 peratus iaitu 68 peratus sahaja yang kata akan mengundi.

"Ini membimbangkan. Dyana Sofya (Mohd Daud) di Teluk Intan mengalami pengalaman buruk apabila kurang daripada 70 peratus yang keluar mengundi," katanya dalam sidang media di Pusat Media PKR di Yayasan Aman, Permatang Pauh.

Dalam pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan tahun lalu, Dyana kalah kepada Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 238 undi.

Peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil itu sebanyak 67.4 peratus.

'Serah pada pengundi'

Sementara dalam pilihan raya umum 2013, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dengan majoriti sebanyak 11,721 undi dengan peratusan jumlah yang keluar mengundi sekitar 88 peratus.

Ditanya sama ada PKR menjangkakan mungkin kalah dalam pilihan raya kecil kali ini, Sim yang juga MP Bayan Baru hanya menjawab:

"Kita tak akan jangka apa-apa. Kita serahkan kepada pengundi."

Sehubungan itu, Sim menyeru kepada para pengundi supaya keluar mengundi pada 7 Mei depan bagi melakukan perubahan sekiranya mahu hala tuju negara berada di atas landasan yang betul.

"Pengundi perlu menentukan adakah ini hala tuju negara yang betul.

"Kalau perlu perubahan, jadi kami ajak pengundi untuk balik ke kampung untuk mengundi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS