Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lima 'saksi rahsia' dijadual memberi keterangan dalam kes Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 melibatkan Yazid Sufaat dan Muhammad Hilmi Hasim.

Pihak pendakwaan memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Pendakwa Rakyat (DPP) Mohd Hanafiah Zakaria memberitahu mahkamah, saksi-saksi tersebut tidak mahu nama, umur atau alamat mereka diketahui oleh umum.

Katanya permohonan itu dibuat bawah Seksyen 14 Sosma, untuk inkuiri dijalankan di mahkamah, sama ada saksi boleh memberi keterangan.

“Inkuiri ini akan diadakan tanpa kehadiran peguam (untuk Yazid dan Hilmi).

“Selepas inkuiri berlangsung, hakim (Moh‎d Azman Husin) akan putuskan jika saksi-saksi ini boleh memberi keterangan,” kata Hanafiah kepada mahkamah.

Katanya saksi polis juga akan memberi keterangan dalam pendengaran itu.

Saksi rahsia itu, tambahnya, boleh memberi keterangan secara tertutup, melalui televisyen litar tertutup daripada mahkamah berbeza atau langsir diletakkan untuk menyembunyikan identiti.

“Kita juga tidak mahu suara mereka dikenali dengan mudah,” kata Hanafiah, yang juga timbalan ketua bahagian pendakwaan Pejabat Peguam Negara.

Seksyen 14 Sosma membolehkan saksi-saksi menyembunyikan identiti mereka ketika memberi keterangan.

Dipercayai ini kali pertama ia akan dilaksanakan sebegitu.

Yazid, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun, dan Hilmi, seorang pembantu kantin, didakwa terlibat dengan kumpulan militan Tanzim Al Qaeda Malaysia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS