Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rompin: 4 pusat undi ditutup 2 petang
Diterbitkan:  May 5, 2015 2:39 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Empat daripada 38 pusat mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin ditutup awal pada pukul 2 petang ini kerana jumlah pengundi yang kecil, menurut jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya

(SPR).

Menurutnya, tiga daripada pusat mengundi itu ialah Sekolah Kebangsaan Juara yang mempunyai 171 pengundi berdaftar, Balai Raya Kampung Genting (142 pengundi) dan Sekolah Kebangsaan Mukut (136 pengundi) yang terletak di Pulau Tioman.

Satu lagi pusat ialah Sekolah Kebangsaan Denai di Kuala Rompin yang mempunyai 170 pengundi berdaftar, katanya.

Keempat-empat pusat mengundi itu yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman telah dibuka sejak 8 pagi ini.

Sementara itu pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman yang mempunyai 651 pengundi akan ditutup pada pukul 3 petang, dan pusat mengundi di Dewan Stesen Mardi, Muadzam Shah bagi daerah mengundi Bukit Ridan yang mempunyai 312 pegundi akan ditutup pada jam 4 petang, katanya.

Menurut jurucakap SPR, peti-peti undi dari Pulau Tioman akan dibawa dengan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan helikopter yang akan dikawal rapi oleh pihak polis bagi mengelak sebarang sabotaj atau perkara tidak diingini ke pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis. 

   

Jamaluddin yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) meninggal dunia pada 4 April lalu akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS