Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Terima kasih KDN kerana haramkan buku saya'
Diterbitkan:  May 5, 2015 4:46 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Penulis Faisal Tehrani 'menyambut baik' langkah Kementerian Dalam Negeri mengharamkan bukunya atas alasan ia mengandungi unsur penyebaran fahaman Syiah yang bertentangan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Faisal berkata pengharaman itu adalah perkembangan sihat kerana sastera Melayu ketika ini berada dalam keadaan suram di sebalik pelbagai sayembara dianjurkan bagi memulihkan keadaan itu.

Kata Faisal, dia tidak menyedari pengharaman buku Sebongkah Batu Di Kuala Berang sejak 1 April lalu kerana ia masih dijual secara terbuka semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur antara 24 April hingga 3 Mei lalu.

Malah, katanya, buku berkenaan dijual secara terbuka dan ditawarkan pada "harga menggiurkan."

"Ini adalah rahmat besar di bulan Rejab.

"Saya yakin akan mendapat lebih ramai pembaca baru," katanya.

Hari ini KDN mengeluarkan kenyataan mengharamkan empat judul buku karya Faisal, iaitu Sebongkah Batu Di Kuala Berang yang diterbitkan PTS Litera Utama Sdn Bhd, Karbala (Abeerden Books World), Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi Nasrallah (kedua-keduanya oleh Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd).

Mahu buat Malaysia bangga

Faisal berkata ketika ini dia sedang tekun menghabiskan sebuah novel yang disiapkan untuk "meraih perhatian komiti Hadiah Nobel bagi kategori kesusasteraan di Stockholm.

Kata Faisal, ia adalah langkah awalnya untuk membawa kesusasteraan Melayu ke peringkat antarabangsa.

"Terima kasih (kepada KDN) kerana membantu untuk mencantikkan profil saya.

"Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel untuk kesusasteraan lalu dicalonkan apabila karya mereka diharamkan pihak berkuasa.

"Insya-Allah saya akan membuat rakyat Malaysia bangga dengan pengharaman lima buah buku pelbagai genre ini di kemudian hari," katanya.

Lihat Komen
ADS