Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penceramah MCA dakwa diserang
Diterbitkan:  May 5, 2015 5:13 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Tiga individu dilapor menyerang penceramah MCA termasuk Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Gui Guat Lye semasa berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Permatang Pauh di Taman Kelisa Emas malam tadi.

Kejadian berlaku pada pukul 9 malam.

Gui berkata selepas berceramah, seorang penceramah turun dari atas trak tempat mereka berceramah untuk bersalaman dengan hadirin apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba memaki hamun penceramah tersebut.

"Saya cuba mempertahankan penceramah itu, tetapi seorang daripada kumpulan itu menolak saya dan yang lain cuba memukul saya dengan kayu," katanya kepada pemberita.

Beliau percaya ketiga-tiganya yang berumur antara 40 hingga 50 tahun merupakan penduduk taman perumahan tersebut.

Gui kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Perda kira-kira 11 malam tadi.

Ceramah di kawasan tersebut malam ini akan tetap diteruskan, katanya.

Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Tan Teik Cheng berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas para penyerang tersebut.

Jurucakap polis bagi PRK Permatang Pauh, ACP Azmi Adam berkata pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS