Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tinggal sehari sahaja tempoh berkempen, kedua-dua parti BN dan PKR kini membuat pecutan terakhir untuk meraih sokongan kira-kira 70,000 pengundi di parlimen Permatang Pauh.

Di saat akhir ini PKR melahirkan kebimbangan sekiranya jumlah pengundi yang akan keluar esok tidak sampai 70 peratus - sama seperti di parlimen Teluk Intan yang menyaksikan kekalahan DAP kepada BN.

Kebimbangan PKR juga turut melibatkan isu dalaman Pakatan di Permatang Pauh apabila Pemuda PAS Pulau Pinang sebelum ini berhasrat memboikot kempen pilihan raya kecil (PRK) di kawasan tersebut serta sekumpulan akar umbi yang tidak berpuas hati dengan PKR berhubung isu hudud.

Bagaimanapun, tindakan Pemuda PAS negeri yang menarik balik boikot tersebut dan bersedia untuk membantu jentera PKR serta usaha sekumpulan akar umbi untuk membangkitkan isu hudud dilihat tidak berjaya apabila rata-rata masyarakat di kawasan itu tetap mahukan Pakatan menerajui Permatang Pauh dan keluar mengundi pada 7 Mei depan.

Pada 2013, penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalahkan Datuk Mazlan Ismail (BN) dengan majoriti 11,721 undi.

Jumlah itu menurun berbanding 2008.

Pada ketika itu Datuk Seri Wan Azizah Ismail bertanding di kerusi tersebut dan menang dengan majoriti 13,398.

Pada 2004 pula, Wan Azizah yang bertanding di kerusi tersebut untuk kali kedua pada ketika itu hanya menang dengan majoriti sebanyak 590 sahaja mengalahkan bekas imam Masjid Negara Datuk Firdaus Ismail.

Ejek 'nenek' Azizah

Justeru, kebimbangan PKR kini bukan sahaja kalah pada pilihan raya kali ini dan hilang kerusi disandang Anwar selama 33 tahun itu, malah bimbang sekiranya jumlah majoriti menurun dan jumlah peratusan yang menurun berbanding 2013 iaitu sebanyak 88 peratus.

Malah, PKR juga perlu bersedia sekiranya keputusan pada Khamis ini sama seperti BN di pilihan raya kecil (PRK) parlimen Rompin apabila keputusan jumlah yang keluar mengundi turun.

PKR kini hanya bersandarkan isu pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), isu-isu yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya serta kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan kemenangan di kerusi parlimen tersebut.

Malah, isu Anwar dipenjarakan dan dizalimi oleh kerajaan juga menjadi bahan untuk meraih simpati pengundi bagi memastikan BN tewas pada PRK kali ini.

Bagi BN, selain ketidakhadiran Najib sepanjang dua minggu tempoh berkempen, parti itu hanya bergantung pada isu-isu dalaman Pakatan yang melibatkan isu hudud, menyerang pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang serta mempertikaikan kredibiliti Azizah untuk menjadi wakil rakyat di dua kawasan - DUN Kajang dan parlimen Permatang Pauh.

Malah mereka turut menjadikan Wan Azizah, 63, sebagai bahan jenaka apabila menggelarkannya "nenek" memandangkan calon BN Suhaimi Sabudin lebih muda daripadanya dan berusia 44 tahun.

Bimbang jadi nyata?

Dengan kempen penolakan pelaksanaan hudud oleh PKR dan DAP dan sentimen yang dimainkan BN ini berjaya, tidak mustahil untuk PKR hanya mendapat antara 2,000 hingga 5,000 undi berbanding 2013.

Ia menjadi satu titik permulaan yang cemerlang buat untuk Pengarah Pilihan Raya Jentera BN yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi serta memberi petunjuk kepada Najib.

Sekiranya kebimbangan PKR menjadi kenyataan, maka Pakatan perlu mengkaji semula permasalahan yang dialami mereka.

Walaupun menggunakan isu GST yang didakwa menindas rakyat, namun pengundi yang bosan dan kesal dengan pendirian PKR dan DAP dalam isu hudud serta percaya dengan janji BN untuk membangunkan kawasan itu mungkin menjadi penyebab mengapa peratusan undi menurun atau majoriti berkurangan.

Pada PRK kali ini, selain Azizah dan Suhaimi turut bertanding ialah calon dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) Azman Shah Othman dan bebas Salleh Isahak yang mana kehadiran dua calon ini hanya bertujuan untuk memecahkan undi dan mengambil kesempatan terhadap kemelut yang melanda Pakatan dan BN.

Esok penentu kepada PRK yang ditunggu seluruh rakyat Malaysia selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun- sama ada kebimbangan PKR menjadi kenyataan atau memberi petanda positif buat BN.

Lihat Komen
ADS