Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun BN terbukti berjaya mengekalkan kerusi parlimen Rompin dengan majoriti hampir 9,000 undi semalam, PAS yang menjadi pencabar tunggal dalam pilihan raya kecil itu tetap 'menang'.

Rompin adalah kubu kuat untuk BN. Hakikat itu diakui semua pihak, termasuk Pakatan Rakyat sendiri. Keberanian dan kesungguhan PAS meletakkan ketua pemuda negerinya memang amat terpuji.

PAS sedar mereka sebenarnya mendaki gunung yang tinggi di Rompin. Justeru parti itu meletakkan anak muda, Nazri Ahmad untuk mencabar Datuk Hasan Arifin yang berpengalaman sebagai timbalan menteri besar.

Pada masa sama PAS gigih menjaja isu hudud di mana-mana, termasuk di kawasan sensitif seperti Permatang Pauh yang bakal menyaksikan satu lagi perjalanan pilihan raya kecil esok.

Memang apalah sangat yang perlu dikhuatirkan. PAS berjuang demi agama dan parti itu rela kehilangan apa saja untuk itu, waima rakan sendiri.

Selain hudud PAS berbekalkan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk berjihad mendapatkan sokongan pengundi di Rompin. Permatang Pauh boleh tunggu dulu.

Apabila keputusan diumumkan, memang PAS 'menang'.

BN memang berjaya mengekalkan penguasaan kerusi itu selepas kosong akibat kemalangan maut membabitkan Tan Sri Jamaluddin Jarjis bulan lalu. Namun BN tetap terpaksa menerima hakikat bahawa undi majoriti mereka berkurangan dengan ketara.

Peralihan sokongan

Daripada 15,114 undi dalam pilihan raya umum lalu, BN hanya memperoleh 8,895 undi semalam.

Sebaliknya, menurut Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, undi popular parti Islam itu meningkat 10.2 peratus.

Selain itu, PAS juga mencatatkan kemenangan di peti undi Felda Keratong 4 dan Keratong 2 yang sebelum ini memihak kepada BN, katanya.

Di Felda Keratong 5 pula, kata Tuan Ibrahim, PAS dapat meningkatkan undi walaupun tewas.

Abaikan hakikat bahawa Nazri gagal mendapat sokongan majoriti di kawasan itu, yang juga kampung beliau sendiri.

Dalam PRK tersebut, Hasan memperolehi 23,796 undi berbanding Nazri, 14,901 undi.

Sebagai bandingan, pada 2013, undi diperoleh BN ialah 30,040 berbanding PAS 14,926 undi.

Perkiraan "10 peratus" yang diungkap Tuan Ibrahim itu boleh dikira berdasarkan perangkaaan berkenaan.

Bukti PAS kuat

Ada juga pandangan menyatakan, pertambahan itu mungkin sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kenyataan penceramah popular Kazim Elias di Permatang Pauh sehari sebelum pilihan raya kecil Rompin dijalankan.

Menurut Kazim, pengundi perlu memberikan sokongan kepada mana-mana calon yang menyokong agenda hudud. Dalam konteks Rompin, rasanya ia tentulah Nazri.

Atas hakikat itu, mungkin ini juga satu lagi bukti kepada golongan tertentu dalam PAS yang kini semakin galak mahu menunjukkan betapa parti itu sebenarnya "kuat" dan "mampu berdiri sendiri" tanpa sokongan parti rakan lain dalam Pakatan.

Tambahan pula ada sesetengah pihak dalam PAS membayangkan matlamat mereka menyertai pilihan raya bukanlah untuk semata-mata mahu menang.

Maksudnya, kalah juga tidak mengapa.


AL-ABROR MOHD YUSUF anggota redaksi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS