Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin membangkitkan soal adat mana yang digunakan keluarga perdana menteri apabila keluarga pengantin lelakinya menanggung kos kenduri kedua-dua belah pihak.

“Mohon maaflah kalau saya keliru adat Melayu mana yang keluarga perdana menteri guna sehingga pengantin lelaki tanggung kos kenduri di kedua-dua belah pihak.

“Adat Melayu Bugiskah? Adat Melayu Minangkah? Atau adat orang Kazakh yang telah dibugis dan diminangkabaukan? ” soalnya.

Bekas ketua pengarang kumpulan NSTP itu juga pergi lebih jauh dengan membangkitkan soal keturunan pasangan negara itu.

Menyatakan soal keturunan Bugis Datuk Seri Najib Razak dan Minangkabau isterinya Rosmah Mansor, Kadir ( atas ) menyenaraikan salasilah keluarga pasangan itu.

Beliau juga menyenaraikan anak Najib dan Rosmah, termasuk daripada perkahwinan awal mereka.

Kadir juga menyatakan siapa ibu bapa pasangan pemimpin negara itu.

Kelmarin Pegawai Khas Perdana Menteri, Rizal Mansor membidas Kadir dengan menyifatkan beliau ‘seorang Melayu yang kurang arif adat Melayu’ susulan isu penajaan menghadiri majlis perkahwinan Nooryana Najwa Najib dan pasangannya di Kazakhstan.

Rizal berkata adalah menjadi adat Melayu apabila pengantin lelaki menanggung kos perbelanjaan perkahwinan kedua-dua belah pihak sambil memberi contoh wang hantaran yang diberikan untuk digunakan keluarga pengantin perempuan untuk majlis kenduri.

Rizal dituntut perincikan kos

Dalam tulisan itu, Kadir juga menuntut Rizal supaya mengesahkan jumlah hantaran anak perempuan Najib yang didakwanya bernilai AS3 juta (RM11.1 juta) yang tidak termasuk dengan mas kahwin dan emas permata.

"Pagi ini satu sumber tepi jalan yang terbaca kenyataan itu memberitahu saya maklumat berikut yang saya minta Encik Rizal sahkan betul atau palsu iaitu hantaran kahwin anak Perdana Menteri adalah sebanyak AS$3 juta (kali 3.7 jadi RM11.1 juta).

"Ini tak termasuk mas kahwin dan emas permata. Kalau RM11.1 tentulah lebih daripada cukup.

"Untuk tidak menimbulkan syak wasangka seterusnya dan tidaklah perlu blogger macam saya mengutip maklumat di tepi jalan, eloklah Encik Rizal nyatakan secara terperinci jumlah hantaran tunai serta emas permata yang diterima oleh anak Perdana Menteri kita itu,” katanya.

Rizal, yang sudah enam tahun berkhidmat dengan Najib, mendakwa keluarga Daniyar Kessibayev menanggung semua kos kenduri di KLCC termasuk sebahagian tetamu untuk terbang ke Kazakhstan bagi majlis bertandang.

Ada boleh dedah, ada tidak

Dalam tulisannya juga, Kadir turut meminta Rizal mengesahkan sama ada terdapat anggota rombongan pergi Kazakhstan atas alasan lawatan kerja rasmi seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

"Saya mendapat tahu ada ahli rombongan pengantin ke Kazakhstan turut serta atas alasan ‘lawatan kerja rasmi’ yang diarahkan oleh kerajaan. Betul atau palsu?" soal Kadir.

Sementara itu mengulas komen Kadir, Rizal berkata kepada Malaysiakini , isu hantara perkahwinan adalah urusan peribadi pihak yang terlibat.

Mengenai perkahwinan anak perdana menteri, Rizal berkata, dia sendiri tidak tahu dan tidak mahu tahu butiran terperinci tentangnya.

"Ada perkara yang boleh diceritakan dan ada perkara yang tidak perlu dikongsi dengan pihak lain.

"Sebagai contoh, kita perlu tahu bahawa seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita agar tidak timbul fitnah pasangan itu bersekedudukan. Begitu juga kita tidak perlu tahu sekiranya seseorang itu berkahwin lebih daripada seorang dan berapa pula mas kahwinnya," katanya.

Di akhir perbualan dengan Malaysiakini, Rizal sempat menyatakan, kenyataan dibuatnya hari ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili Pejabat Perdana Menteri.

Lihat Komen
ADS