Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam: Pengundi Rompin tolak Najib
Diterbitkan:  May 6, 2015 3:45 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa berkata parti itu harus merangka strategi baru berdasarkan keputusan pilihan raya kecil parlimen Rompin semalam.

Beliau melihat bahawa sikap pengundi Melayu di parlimen Rompin menunjukkan penolakan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Pada masa yang sama 6,244 pengundi itu tidak pula mengalihkan undi mereka kepada PAS atas sebab yang mereka sendiri tahu.

“Namun, paling tidak mereka yang pernah mengundi BN genap dua tahun lalu tidak lagi mengundi BN pada kali ini.

“Jika jumlah tersebut dapat diterjemahkan menjadi undi kepada pembangkang, insya-Allah perubahan politik yang besar akan berlaku dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau seterusnya mengaitkan sikap pengundi itu dengan isu cukai barangan dan perkhidmatan, skandal 1Malaysia Development Bhd dan juga masalah pentadbiran Najib.

“Faktor ini akan menjadi lebih penting menjelang PRU yang akan datang,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau tetap memberi peringatan bahawa sokongan yang diterima PAS dari pengundi bukan Melayu berkurangan pada kali ini.

“Pada masa yang sama, pengundi  bukan Melayu pula menghantarkan isyarat berbeza kepada PAS dengan berlaku pengurangan yang ketara.

“PAS perlu menggariskan pilihan strategi yang bijak dari indikator Rompin di semua sudut,” katanya lagi.

Peringatannya itu secara tidak langsung merujuk kepada isu hudud yang membelenggu kini Pakatan Rakyat.

Seterusnya, Husam berkata PAS perlu mempertimbangkan bahawa sikap pengundi yang menolak Najib adalah cukup besar.

Malah, PAS perlu mempertimbangkan bahawa faktor tersebut cukup besar daripada keuntungan yang diperolehi daripada kerjasama dengan Umno, katanya.

“Sekalipun PAS mungkin bekerjasama dengan Umno dalam apa jua bentuk bagi PRU yang akan datang, arus penolakan terhadap kepimpinan DS Najib adalah cukup besar untuk membuat perubahan sebaliknya,” katanya.

Lihat Komen
ADS