Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Melayu lebih GST': MCA tuding jari pada Pakatan
Diterbitkan:  May 6, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Terpalit tuduhan perkauman susulan kenyataan berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kaum tertentu, pemimpin MCA Datuk Heng Seai Kie kini menuding jari kepada parti lawan.

Ketua Wanita parti itu berkata DAP dan PKR “sangat keji” kerana didakwa sengaja mengapi-apikan isu GST dengan konotasi perkauman untuk mendapat manfaat politik.

Beliau juga berkata kenyataan yang asalnya dilapor oleh harian China Press itu dipetik di luar konteks dan diputar belit demi memenangi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

“Apakah ada udang di sebalik batu untuk DAP dan PKR terus memainkan isu ini berlandaskan perkauman?

“Dalam perkara ini, sekiranya mereka parti yang bertanggungjawab, PKR dan DAP harus meminta maaf khusus kepada seluruh warga Malaysia,” katanya.

Heng ( kanan ) pada 2 Mei dilapor memberitahu masyarakat Cina supaya tidak menentang GST kerana ia akan menyaksikan orang Melayu membayar lebih, tetapi orang Cina pula akan mendapat manfaat.

Beliau dilapor berkata perkara itu berlaku kerana orang Melayu yang secara umumnya kurang anak terpaksa membayar lebih selepas cukai kontroversi itu dilaksana.

Fitnah besar

Rakaman itu muncul di talian selepas Heng menuduh China Press memetik beliau di luar konteks dan harian itu menarik balik laporannya.

Ketika dihubungi Heng menjelaskan jika ucapan itu didengar secara keseluruhan maknanya bukan seperti dilaporkan.

Dalam kenyataan hari ini, Heng mengingatkan bahawa China Press telah pun membuat penjelasan serta meminta maaf secara rasmi.

Katanya, oleh kerana permohonan di atas talian dan di dada akhbar telah dibuat atas “salah tafsir” itu, ia tidak harus dijadikan isu lagi.

“Tindakan pihak pembangkang yang sengaja merujuk kepada laporan akhbar yang telah terbukti silap serta terus menggembar-gembur serta memutarbelitkan pernyataan saya itu nyata sekali adalah satu fitnah besar dengan niat jahat untuk menghasut,” katanya.

MCA juga telah memfailkan aduan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas terhadap pihak yang cuba membunyikan gendang perkauman.

“Saya juga ingin merakamkan rasa kesal yang teramat sangat kepada para pembaca serta sesiapa sahaja yang tersinggung perasaannya akibat kenyataan fitnah DAP dan PKR ini,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS