Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siap sedia untuk hari pengundian esok
Diterbitkan:  May 6, 2015 10:59 PM
Dikemaskini: 3:01 PM

Polis bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata polis mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi untuk menjalankan tugas bagi memastikan proses pengundian lancar dan aman.

"Tujuan saya berada di sini (Permatang Pauh) hari ini adalah untuk meninjau persiapan terakhir menjelang hari mengundi esok. Sejak hari penamaan calon pada 25 April lepas hingga hari ini, saya berpuas hati dengan perjalanan kempen PRK Permatang Pauh.

"Selain itu, polis juga bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengelak kekecohan bagi memastikan keadaan terkawal esok.

"Anggota kami ditempatkan di semua lokasi yang sepatutnya untuk melancarkan trafik dan proses pengundian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam hari ini.

Menurutnya polis juga menerima 91 laporan berkaitan salah laku pilihan raya dan telah membuka lapan kertas siasatan bagi PRK Parlimen Permatang Pauh sejak hari penamaan calon hingga hari ini.

"Lapan kertas siasatan yang dibuka itu berkaitan perbuatan khianat iaitu merosakkan kain rentang dan papan iklan calon, ahli sebuah parti politik dicederakan, mencuri pembesar suara dan mengadakan ceramah tanpa permit. Setakat ini tiada ceramah yang diadakan berbaur hasutan yang melampau.

"Boleh dikatakan sepanjang tempoh berkempen ini, keadaan aman dan terkawal. Saya harap hari mengundi esok tidak ada perkara yang boleh mengganggu gugat ketenteraman orang ramai untuk keluar mengundi," kata Khalid.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden  PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

- Bernama

Lihat Komen
ADS