Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keadaan di Kubang Semang berhampiran Sekolah Kebangsaan Seri Penanti semakin meriah apabila penyokong PKR dan BN semakin bertambah.

Dianggarkan penyokong PKR sekitar 300 orang manakala penyokong BN kira-kira 100 orang.

Anggota polis kini semakin bertambah bagi mengawal situasi di kawasan itu.

Mereka meletakkan pita halangan polis di kedua-dua bahu jalan bagi memastikan para penyokong tidak menghalang lalulintas.

Terdapat juga penyokong PKR yang membawa buluh yang digantung mi segera dan duit sebagai simbol - mee segera dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan melaungkan "Reformasi".

Penyokong BN pula membunyikan vuvuzela dan mengibarkan bendera sambil menyanyikan lagi "Inilah barisan kita" dan turut membalas laungan PKR dengan "Transformasi"

Sementara itu, Bernama melaporkan 24 pusat mengundi dengan 130 saluran untuk PRK Parlimen Permatang dibuka mulai 8 pagi ini. Pusat mengundi itu akan ditutup pada 5 petang.

Calon BN Suhaimi Sabudin mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu.

Manakala calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Calon Parti Rakyat Malaysia, Azman Shah Othman dan Salleh Isahak (Bebas) tidak mengundi.

Proses pengundian awal membabitkan 627 pengundi telah diadakan pada Ahad lepas di dua saluran iaitu di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan di berek kelamin Balai Polis Kubang Semang.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR menjangkakan jumlah yang akan mengundi mencapai 80 peratus daripada 71,890 orang yang layak mengundi di kawasan itu.

"SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi kali ini menurun kepada 80 peratus daripada 88.50 peratus pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei, 2013," katanya.

Beliau berkata keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh dijangka diketahui seawal 9 malam.

Proses pengiraan undi PRK ini akan dilakukan di tempat mengundi dan bukan di pusat penjumlahan rasmi undi, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada 5 petang ini.

Hari ini merupakan cuti peristiwa di Pulau Pinang dan dijangka lebih ramai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Lihat Komen
ADS