Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan Gerakan untuk mencabar undang-undang hudud daripada dilaksana di Kelantan.

Hakim Azman Abdullah membenarkan bantahan awal oleh kerajaan negeri Kelantan.

Gerakan juga diarah membayar kos RM10,000.

Peguam Gerakan Andy Yong ketika dihubungi Malaysiakini berkata Kelantan tidak pernah memfailkan afidavit atau hadir semasa pengurusan kes.

“Kami kecewa dengan keputusan ini kerana notis bantahan awal hanya berdasar alasan Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk mendengar kes itu kerana ia tertakluk bawa Mahkamah Persekutuan.

“Hakim sediakan 19 halaman alasan bertulis hanya untuk PO (bantahan awal). Ini tidak pernah berlaku!” katanya.

“Duluan yang buruk, di masa depan tidak perlu failkan permohonan untuk ketepi kes atau jawab afidavit, buat bantahan awal sudah cukup.”  [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati kes berkenaan adalah pramatang dan bersifat 'ultra vires'  (melampaui bidang kuasa).

 
"Dengan ini memutuskan bahawa kausa tindakan pada 18 Mac belum lagi wujud semasa plaintif memfailkan notis usul ini dan ia seolah-olah 'put the cart before the horse' dan bantahan awal defendan diterima," katanya.
 
Mahkamah ini juga menetapkan bahawa jikapun kausa tindakan enakmen wujud pada 18 Mac sekalipun plaintif perlu mendapatkan kebenaran daripada Hakim Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 128, katanya.
 
Azman turut memutuskan saman pemula berkenaan dibatalkan dengan kos sebanyak RM10,000.
 
Kerajaan negeri Kelantan diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Shahidani Abdul Aziz manakala Gerakan diwakili peguam Andy Yong Kim Seng.
 
Gerakan pada 18 Mac lepas memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993, yang pindaannya dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada tarikh sama. 
 
Saman pemula itu difailkan oleh tiga anggota parti berkenaan, iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie melalui Tetuan N. S. Leong dan S. T. Low di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai defendan.
 
Dalam saman pemula itu, plaintif memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bagi perisytiharan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. 
 
Selain itu, turut dipohon suatu deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah, dan bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.
 
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lepas meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) selepas menerima undian sebulat suara 44 ADUN yang menghadiri sidang berkenaan.
 
 
 

Lihat Komen
ADS