Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB jual tanah, Pemuda Umno tumpang musykil
Diterbitkan:  May 8, 2015 4:25 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Pemuda Umno mengesyaki wujud konflik kepentingan dalam jualan tanah 1Malaysia Development Bhd kepada Tabung Haji (TH) dengan harga RM188.5 juta yang mencetuskan kontroversi.

Dalam kenyataannya, Pemuda Umno antara lainnya membangkitkan bahawa ketua pegawai eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail, juga merupakan ahli lembaga 1MDB.

“Apakah wujud konflik kepentingan lain yang melibatkan pegawai kanan TH dalam transaksi ini?,” kenyataan itu dipetik.

Pemuda Umno juga mahu kementerian itu menyatakan dengan khusus harga asal yang dibayar oleh 1MDB untuk mendapatkan tanah berkenaan.

“Apakah benar pembelian bidang tanah yang dibuat di kawasan berhampiran dibeli pada harga yang lebih redah daripada apa yang dibayar oleh TH untuk tanah ini?,” soalnya.

Naib presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam menyebut, tanah yang dijual kepada TH itu pada asalnya hanya diperolehi dengan harga RM4 juta oleh 1MDB.

Kenyataan itu, yang menuntut penjelasan dari Kementerian Kewangan, diedarkan kepada media hari ini dan turut dimuatkan di laman Facebook ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Khairy sebelum ini sudah berulang kali meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab persoalan yang dikemukakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu 1MDB.

Dalam kenyataan hari ini, Pemuda Umno turut mengulangi gesaan yang disuarakan PAS dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) semalam berhubung keraguan mengenai syarat penjualan tanah itu.

Khususnya, ia merujuk kepada dakwaan bahawa Tabung Haji mendapat diskaun untuk membeli tanah seluas 1.56 ekar itu jika menunaikan bayaran sebaik menandatangani perjanjian

Syarat tersebut didedahkan dalam satu dokumen yang tersebar di satu blog pada hari Rabu lalu.

Najib yang juga presiden Umno merupakan menteri kewangan dan juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji pula adalah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, seorang anggota majlis tertinggi Umno.

Lihat Komen
ADS