Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menyerahkan memorandum kepada Lembaga Tabung Haji bagi mendesak Pengerusinya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatan.

Presiden Abim Amidi Abdul Manan berkata, selain mendesak Abdul Azeez meletakkan jawatan, pihaknya juga meminta supaya pihak yang terlibat dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut berbuat demikian.

"Kita minta pihak di pelbagai peringkat yang terlibat dengan 1MDB meletakkan jawatan. Dan Abim mendesak supaya pengerusinya sendiri undurkan diri kerana kesilapan yang dibuat dan beri persepsi tak benar berkaitan Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tiga muka surat kepada Pemangku Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji Adi Azuan Abd Ghani di Bangunan Tabung Haji Jalan Tun Razak.

Mengulas lanjut, Amidi berkata Abim juga menyerahkan memorandum tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom memandangkan beliau menteri yang menyelia agensi itu.

Katanya lagi, selaku menteri, Jamil perlu memberi penjelasan berhubung kontroversi pembelian tanah milik 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji.

"Kita juga mohon supaya beliau bersuara kerana dia mempunyai kuasa yang lebih terhadap lantikan serta boleh memecat pengerusi. Beliau berkuasa penuh.

"Jadi kami juga mahukan penjelasan daripada beliau selalu menteri," katanya.

Rasa teraniaya

Sementara itu, di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya petang ini, stiga individu mengeluarkan wang caruman mereka sebagai tanda protes dan mendesak Azeez meletakkan jawatan.

Ketua Penerangan PAS Lembah Pantai Jasni Abdullah (kanan) berkata, beliau mengeluarkan sebahagian wang carumannya kerana berasa teraniaya ekoran tindakan Tabung Haji yang membeli tanah Tun Razak Exchange.

"Kita rasa teraniaya dengan Tabung Haji yang membeli tanah di Tun Razak Exchange dan beli guna duit pendeposit.

"Jadi kami membantah tindakan itu kerana sebagai pencarum kami juga nak bantah supaya pengerusi Tabung Haji letak jawatan dan harap perdana menteri lantik orang bukan politik," katanya.

Manakala Khairudin Mohamad, 51, (kiri) pula berkata beliau mengeluarkan kesemua wang caruman miliknya dan ahli keluarganya di Tabung Haji kerana sudah tidak mempercayai badan itu.

Menurutnya lagi, Khairudin akan mempertimbangkan untuk tidak menunaikan haji di bawah badan tersebut sekiranya giliran untuk menunaikan ibadah itu tahun ini.

"Saya dah tak percaya dengan Tabung Haji, jadi saya keluarkan semua wang saya dan keluarga.

"Saya juga mungkin menolak tawaran sekiranya giliran memunaikan haji pada tahun ini kerana kecewa dengan Tabung Haji," katanya.

Lihat Komen
ADS