Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) turut memberi kesan penurunan kepada tujuh jenis cukai yang lain.

Menurutnya, antaranya cukai jualan daripada 10 peratus kepada enam peratus, cukai jualan lima peratus kepada 0 peratus, cukai pendapatan individu yang diturunkan antara satu hingga tiga peratus, cukai korporat daripada 25 peratus kepada 24 peratus, cukai koperasi satu hingga dua peratus, cukai PKS daripada 20 kepada 19 peratus serta cukai jualan yang dikecualikan terus.

Mengenai penurunan cukai korporat secara berperingkat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad berkata, ia menjadikan negara lebih kompetitif memandangkan cukai korporat negara ketika ini lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

"Langkah ini memberi lebih tarikan kepada pelaburan ke dalam negara dan sekali gus dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas perasmian seminar kualiti barangan oleh TPM Biotech Sn Bhd di Kuala Lumpur, Rabu.

Beliau kesal dengan sikap pengeluar dan peniaga yang enggan menurunkan harga walaupun barangan mereka termasuk 273 barangan yang sepatutnya lebih murah.

Daripada senarai tersebut hanya pengeluar kereta yang telah mengumumkan pengurangan harga manakala pengeluar minuman, pakaian serta perabot masih tidak berbuat demikian, tambahnya.

Ahmad berkata, alasan stok lama oleh peniaga kononnya sukar membuat tuntutan juga tidak boleh diterima kerana sudah sebulan lebih CBP dilaksanakan dan stok kemungkinan telah habis.

Stok baru dari kilang sudah tidak dipungut cukai jualan, oleh itu barangan mesti diturunkan harga, katanya.

Dua sebab yang dikenal pasti kenapa barangan tidak turun harga ialah kekurangan penguatkuasaan serta sikap peniaga sendiri yang mengambil keuntungan berlebihan, kata Ahmad.

Menurutnya, peniaga perlu lebih telus dan beretika kerana penguatkuasaan sahaja tidak dapat mengatasi masalah ini berikutan jumlah peniaga yang terlalu ramai berbanding pegawai penguatkuasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS