Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan Malaysia mencapai Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran padi mencecah 100 peratus pada tahun 2020.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tahap SSL pengeluaran padi negara pada kadar 100 peratus pada 2020 merupakan sasaran baharu, berbanding sasaran sebelum ini pada tahap 70 hingga 75 peratus pada 2020.

"Kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion daripada keseluruhan belanjawan kementerian sebanyak RM6 bilion pada tahun ini untuk membantu pesawah padi negara ini meningkatkan pengeluaran padi mereka dan kerana itulah kita mahu tahap SSL pengeluaran padi mencapai tahap 100 peratus pada 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Peladang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) 2015 dan melancarkan Pelan Korporat MADA, yang turut dihadiri pengerusinya Datuk Othman Aziz di Alor Setar hari ini.

Ismail Sabri berkata setiap tahun Malaysia mengimport kira-kira 900,000 metrik tan beras dan ia tidak termasuk kira-kira 1 juta metrik tan beras yang dipercayai diseludup masuk menerusi sempadan negara.

Katanya untuk mencapai tahap SSL sebanyak 100 peratus pada 2020, kementerian telah merangka pelbagai strategi dan projek termasuk membelanjakan RM2.2 bilion untuk menaik taraf sistem pengairan di kawasan MADA bagi membantu pesawah menambah pengeluaran padi mereka.

Menurutnya projek menaik taraf sistem pengairan itu dijangka bermula tidak lama lagi dengan proses pemilihan kontraktor telahpun selesai.

Salah sebuah kontraktor yang terpilih melaksanakan projek itu, katanya adalah anak syarikat MADA sendiri.

Beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan tahap SSL pengeluaran padi, kementerian meletakkan sasaran supaya setiap pesawah padi dapat menghasilkan pengeluaran kepada tujuh tan sehektar dari enam tan sehektar ketika ini.

Pada majlis yang sama, Ismail Sabri turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara MADA dan syarikat Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengguna pakai teknologi syarikat itu dalam meningkatkan hasil padi di MADA.

Beliau turut menyaksikan perjanjian persefahaman antara Syarikat Perniagaan Peladang Sdn Bhd dan Bayer Co Sdn Bhd.

- Bernama

Lihat Komen
ADS