Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebelas Orang Asli dari komuniti di Pos Lanai dekat Kuala Lipis, Pahang memfailkan saman untuk mencabar pembinaan empangan hidroelektrik di atas tanah adat mereka.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan menamakan Tenaga Nasional Bhd, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Pahang dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.

Orang Asli yang diketuai Jeffry Hassan mendakwa TNB mahu membanjiri 7,600 hektar tanah nenek moyang mereka bagi menghasilkan 132MW elektrik melalui empangan Telom itu.

Semua 11 mendakwa tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Orang Asli dan juga mendakwa terdapat unsur pecah amanah, penipuan dan pencerobohan haram ke atas tanah mereka.

Perkara itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nurdiana Mohd Nazari yang menetapkan 9 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya. [Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan dalam pernyataan tuntutan mereka memohon pengisytiharan bahawa mereka mempunyai hak milik Adat Asli dan tuan punya ke atas tanah yang mereka diami itu.

Plaintif juga memohon satu perintah yang menghalang TNB sama ada secara sendiri atau melalui ejennya daripada memasuki ataupun melakukan sebarang kerja di atas tanah itu.

    

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa pengambilan kawasan itu tidak mematuhi Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Orang Asli dan Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan, ganti rugi, kos, dan faedah.

    

Orang Asli Pos Lanai itu mendakwa pada 2013 mereka telah dipindahkan ke penempatan baru serta tidak boleh menetap atau menggunakan kawasan itu lagi dan mereka juga tidak menerima notis berhubung pemindahan itu.

    

Mereka mendakwa selepas mereka berpindah ke penempatan baru, mereka mendapat tahu bahawa TNB telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri Pahang untuk melancarkan projek pembinaan empangan itu.

    

Akibatnya mereka kehilangan punca pendapatan daripada hasil getah, kelapa sawit, petai, rotan dan buah-buahan.

    

Oleh itu mereka mendakwa defendan telah mengambil tanah secara salah kerana tidak mematuhi Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Akta Orang Asli 1954.

Lihat Komen
ADS