Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak kisah namanya tidak dimasukkan dalam senarai kabinet bayangan seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Sebaliknya, beliau hanya mementingkan kemenangan Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum memikirkan cadangan tersebut.

"Nama saya tak masuk dalam kabinet pun tak mengapa. Tak jadi masalah.

"Apa yang penting kita menang dulu dan bagaimana kita nak mengisi kemenangan itu.

"Bukan siapa jadi menteri itu, menteri ini," katanya diiringi laungan takbir penyokongnya yang memenuhi ruang "Bicara Harakah" hari ini.

Hadi yang juga ahli Parlimen Marang bagi mengulas cadangan Wan Azizah mengenai perkara itu di Parlimen semalam.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan dua sifat negatif yang menjangkiti anggota gerakan Islam iaitu bersikap melampau dan mahu Islam ditegakkan dengan cepat sehingga sanggup bunuh membunuh.

Selain itu, terdapat juga anggota gerakan Islam yang bersikap "bermudah-mudah" dengan Islam dan mengharapkan kemenangan semata-mata.

"Kita mengambil jalan tengah iaitu melaksanakan Islam mengikut proses, jadual dan agenda.

"Kita kena faham PAS itu sejak tahun 1959 yang kita menang di Kelantan dan Terengganu, bukan tahun 2000. Sebab ada yang masuk PAS tahun 2000," katanya.

Dalam pada itu,  Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop menafikan dakwaan bahawa program bersama Hadi itu dibuat sebagai kempen menjelang pemilihan parti dan peluang yang sama diberikan kepada pencabarnya Ahmad Awang.

"Program ini tidak ada kena mengena dengan kempen pemilihan. Sebelum ini ada halangan. Kita ada memanggil beliau dua tiga kali, tapi beliau sibuk," katanya.

Lihat Komen
ADS