Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau dan kerajaan akan terus melangkah ke hadapan dan tidak akan sekali-kali berbalik haluan.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK) di Parlimen hari ini.

“Walaupun, mutakhir ini, pelbagai dugaan dan rintangan dihadapkan, saya dan pihak kerajaan memilih hanya satu jalan, iaitu terus melangkah ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan,” katanya dalam ucapan itu.

Kata-kata Najib itu secara tidak langsung merujuk kepada siri kritikan mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadapnya sebelum ini.

Selanjutnya, Najib terus menggunakan perumpamaan Melayu bahawa hidup ini merupakan sebuah perjuangan dan sememangnya ada turun naik dan waktu susah dan senang.

“Justeru, saya menyeru kepada rakan-rakan yang setia, sekiranya kita bersabar, seandainya kita terus kukuhkan kepercayaan, juga keyakinan di dada, bertawakal kepada yang Maha Kuasa. Kelak, akan terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita,” katanya lagi.

Najib mengakhiri ucapan beliau dengan memegang satu salinan RMK-11 dan mendorong Ahli Parlimen yang lain untuk berbuat perkara yang sama.

Manakala, Ahli Parlimen pembangkang pula ketawa apabila melihat reaksi tersebut.

Ini adalah Rancangan Malaysia kedua yang dibentangkan oleh Najib sejak menjadi perdana menteri pada tahun 2009.

Bagaimanapun, tidak seperti pelan pertama yang dibentangkan pada tahun 2010, Malaysia mengalami kemerosotan ekonomi ekoran kejatuhan harga minyak global yang menjejaskan mata wang negara.

Najib yang juga menteri kewangan turut berdepan dengan kritikan berkaitan pengendalian 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang sebanyak RM42 bilion.

Lihat Komen
ADS