Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebuh raya: K'jaan S'gor diharap beri kerjasama
Diterbitkan:  May 22, 2015 7:30 AM
Dikemaskini: May 22, 2015 12:01 AM

Rancangan membina Lebuh Raya Pantai Barat yang dijangka siap pada 2019 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) diharap mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri Selangor.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS) Datuk Seri Noh Omar berkata walaupun pelan pembangunan projek itu sekali lagi disenaraikan dalam RMK, namun tempoh siap lebuh raya itu kini dilihat relevan dan seiring dengan pertambahan kenderaan semasa.

Jelasnya, idea pembinaan lebuh raya untuk kemudahan jangka panjang rakyat di kawasan terlibat sepatutnya menjadi keutamaan kepada kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

"Ada bahagian jajaran infrastruktur ini akan dibina di atas tanah hutan milik kerajaan Selangor dan amat diharapkan pihak berkenaan boleh beri kerjasama

supaya projek itu terlaksana.

"Sudah pastinya dengan pembukaan lebuh raya ini kelak dapat meningkatkan lagi taraf ekonomi kawasan terlibat selain memudahkan perjalanan," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Tambah beliau, lebuh raya itu juga pastinya dapat memberi pilihan kepada rakyat supaya tempoh masa perjalanan dan kesesakan dapat dikurangkan terutama pada musim perayaan dan cuti umum.

Pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat yang bakal menghubungkan Banting sehingga ke Perak itu telah diumumkan dalam RMK10 dan pembinaannya dilihat menjadi alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Dalam pada itu, Noh berkata pertambahan RM30 bilion peruntukan siling perbelanjaan iaitu sebanyak RM260 bilion bagi RMK11 berbanding RM230 bilion pada RMK10 disifatkan bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Katanya, peruntukan yang mencakupi pembangunan bandar dan luar bandar itu seharusnya memberi pelbagai nikmat serta faedah terhadap masyarakat seiring dengan hala tuju Malaysia dalam mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

"Pertambahan peruntukan siling ini mampu menjana banyak peluang ekonomi untuk menambah pendapatan negara maka rakyat seharusnya menyambar ruang yang ada demi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata, dalam usaha mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kerajaan persekutuan dicadang supaya lebih fokus serta meneliti aspek pelaksanaan RMK11 tersebut.

"Pada pendapat saya, RMK (Rancangan Malaysia) sebelum ini tidak mencapai objektif secara optimum dari segi pelaksanaan. Semua pihak diharap mengambil iktibar sekiranya ikhlas mahu RMK11 ini berjaya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS