Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno buru dalang dedah video Muhyiddin
Diterbitkan:  May 22, 2015 2:35 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Umno sedang menyiasat dalang di sebalik penyebaran rakaman ucapan timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan semua anggota lembaga pengarah 1MDB dipecat.

Setiausaha kerja parti itu Datuk Ab Rauf Yusoh memberitahu SuaraTV bahawa siasatan itu dikendalikan oleh Naib Presiden Umno Datuk Zahid Hamidi kerana penyebaran itu tidak harus berlaku.

“Saya difahamkan Datuk Zahid sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran rakaman tersebut bagi mencari dalang yang merakam dan menyebarkan ucapan tersebut.

“Menurut garis panduan yang ditetapkan program latihan seperti itu tidak boleh dibuat sebarang rakaman apatah lagi untuk menyebarkannya kepada umum,” beliau dilapor sebagai berkata.

Laman itu juga melaporkan bahawa ucapan itu tidak harus diraikan kerana program itu – dikenali sebagai KERIS 2314 – sepatutnya menjadi senjata BN untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum.

Semalam, ketika Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen, sebuah video dimuat naik di Internet.

Ia memaparkan ucapan Muhyiddin yang mahu semua lembaga pengarah 1MDB dipecat.

Beliau kemudian menjelaskan perkara itu cuma pandangannya dan bukan perkara baru.

Kenyataan itu dilihat memberi tamparan kepada Najib memandang 1MDB lahir hasil cetusan ilhamnya.

Program Umno diperketat

Sementara itu, portal pro-BN MyKMU melaporkan Zahid sebagai menjelaskan berkaitan rakaman yang dikatakan dibuat di Janda Baik, Pahang, itu.

“Sebagai pengerusi Biro Latihan Umno Malaysia saya telah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap punca rakaman dan penyebaran,” katanya yang juga menteri dalam negeri.

Zahid juga dilapor menjelaskan bahawa beliau meminta tindakan segera diambil kerana merosakkan imej program dirangka mereka.

Perkara lain turut dijelaskan, termasuk:

(1) Ia dilakukan oleh seorang timbalan ketua bahagian yang tidak sepatutnya hadir. Rakaman disebarkan di kalangan rakan-raknnya di bahagian dan dalam aplikasi mesej Telegram timbalan ketua Umno bahagian.

(2) Ucapan Muhyiddin di luar rangka kursus hadir atas kapasiti sebagai ketua Umno bahagian Pagoh.

(3) Mulai siri ke-12 program KERIS 2314, sekretariat tidak akan membenarkan telefon bimbit dan sebarang alat rakaman dibawa masuk ke dewan kursus.

(4) Sebelum ini dan selepas ini tidak akan ada ucapan perasmian atau penutupan selain daripada pihak sekretariat.

Lihat Komen
ADS