Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga cuba sokong militan IS dihukum penjara
Diterbitkan:  May 22, 2015 5:21 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Seorang peniaga kedai runcit dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba memberi sokongan kepada anggota militan IS di Syria, tahun lepas.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas Mohd Rosmadi Che Daud, 43, mengaku cuba memberi sokongan kepada anggota militan IS dengan mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) ke Istanbul, Turki.

Bapa kepada enam anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan KLIA, Sepang, Selangor pada 8.55 pagi, 25 Sept 2014 mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan. Kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Kamardin memerintahkan Mohd Rosmadi yang ditahan di Penjara Sungai Buloh itu menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 September 2014.

"Saya menggalas tanggungjawab berat dalam menjatuhkan hukuman ini. Mahkamah mengambil kira faktor keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh selain rayuan dan pengakuan tertuduh serta kepentingan awam.

"Ini adalah hukuman setimpal dan berpatutan kepada kamu," katanya sebelum menjatuhkan hukuman tersebut.

Terdahulu, peguam Arik Zakri Abdul Kadir memberitahu anak guamnya hanya menyampaikan bantuan kemanusiaan kerana bersimpati terhadap keadaan pergolakan di Syria dan tidak mempunyai niat untuk menyertai kumpulan militan itu.

"Perniagaan tertuduh tidak lagi beroperasi sejak ditahan dan menyebabkan isteri dan anak-anaknya hilang tempat bergantung," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah memberikan hukuman berat yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana memberi sokongan kepada anggota militan di Syria.

Mengikut fakta kes, Mohd Rosmadi ditahan pada 25 Sept yang lalu bersama-sama beberapa orang yang lain di Kaunter Imigresen, Balai Pelepasan KLIA ketika tertuduh hendak mendaftar masuk bagi penerbangan Qatar Airways ke Istanbul, Turki.

Mohd Rosmadi yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan, menunjukkan minat terhadap pergolakan di Syria dan kemudian berkenalan serta mengumpul maklumat dengan beberapa individu lain menerusi aplikasi WhatsApp yang diberi nama 'Jihad Fisabilillah'.

Tertuduh juga terpengaruh dengan satu lagi  applikasi "WhatsApp Melancong" yang membincangkan persiapan serta keperluan untuk menjalani latihan ketenteraan di beberapa buah kem militan di Syria.

Selain itu, tertuduh juga menyatakan kesediaan untuk mati syahid bagi menegakkan perjuangan kumpulan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS