Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun surat pemecatan sudah dikeluarkan , Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih membuka peluang kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Ekhsan Bukharee Badarul Hisham untuk membuat rayuan.

Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan Islam) JAIS, Mohamad Amir Danuri bagaimanapun berkata, keputusan rayuan berkenaan tertakluk kepada jawatankuasa disiplin jabatan berkenaan.

"Rayuan sebenarnya boleh (dibuat). Itu prosedur biasa, nak buat rayuan. Tapi ia tertakluk kepada jawatankuasa disiplin untuk lihat setakat mana dia bersetuju dengan nasihat yang diberikan," katanya ketika dihubung Malaysiakini .

Selain itu, Amir berkata lagi, antara sebab Ekhsan dipecat juga adalah prestasi pengajaran dan pembelajarannya yang mendapat markah rendah.

Perkara itu menurut Amir tidak melibatkan isu provokasi yang dilakukan Ekhsan.

Dalam surat pemecatan Ekhsan , antara sebab beliau dipecat adalah kerana prestasi kerja yang rendah dan gagal menunjukkan kesungguhan untuk berubah walaupun telah diberi nasihat.

"Dari segi prestasi ini, memang guru KAFA perlu isi borang prestasi tahunan. Kalau tak silap saya markahnya berada dibawah peratus yang di perlukan.

Tak mengaku salah

"Ia dibuat oleh guru besar sekolahnya. Perkara ini memang asing dengan tiga sebab (dipecat) yang lain," kata Amir lagi.

JAIS semalam mengesahkan penamatan perkhidmatan Ekhsan berkuatkuasa 1 Jun setelah mendapati beliau melanggar perjanjian pelantikan Guru KAFA.

Pengesahan itu dibuat dalam satu kenyataan media oleh Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ekhsan berkata beliau akan menggunakan ruang diberikan untuk membuat rayuan.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan mengaku bersalah dengan tindakan yang dibuat sebelum ini kerana mempunyai prinsip untuk mempertahankan hak guru KAFA.

"Saya akan gunakan ruang yang diberikan. Tapi saya tetap dengan pendirian saya, tidak akan mengaku bersalah.

"Saya punya prinsip dan teras perjuangan yang jelas untuk mempertahankan hak dan kebajikan guru KAFA yang lain," kata Ekhsan.

Lihat Komen
ADS