Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemelut DAP - PAS memasuki fasa terbaru apabila ahli politik veteran Lim Kit Siang didesak meminta maaf setelah dikatakan menyinggung perasaan pimpinan parti itu dalam ceramahnya di Kelantan pada 10 Mei yang lalu.

Apakah menjadi satu kesalahan jika orang bukan Islam bercakap atau boleh disifatkan sebagai menjelaskan pemahaman beliau mengenai hukum hudud dengan isi kandungan ucapannya yang tidak langsung menjurus kepada antihudud atau anti-Islam?

Sebenarnya, bertitik tolak dari pendirian DAP yang jelas menolak pelaksanaan hudud itu, Lim dalam semangat untuk menjaga keharmonian hubungan antara parti gabungan Pakatan Rakyat itu  tidak terlalu ekstrem menempelak PAS.

Sebaliknya Lim mengetengahkan apa yang bakal berlaku jika hudud dilaksanakan tanpa infrastruktur yang kukuh.

Sambil menjadikan Jordan dan Mesir sebagai contoh, Lim berkata, ada beberapa isu atau prasyarat perlu diselesaikan sebelum hukum hudud boleh dilaksanakan. Antaranya, pelaksanaan semua undang-undang syariah selain banyak isu asasi lain diselesaikan.

Masalah seperti peluang pekerjaan, perumahan dan kesihatan harus didahulukan bagi memastikan rakyat tidak ada peluang atau mencari helah dan alasan melakukan jenayah seperti mencuri, merompak dan sebagainya semata-mata demi sesuap nasi.

Menambah derita rakyat

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kini menyebabkan harga barangan melambung naik, sekaligus membuak-buakkan perasaan benci lagi marah di kalangan kebanyakan rakyat Malaysia kepada kerajaan.

Walaupun ianya pernah diakui beberapa pimpinan Pakatan Rakyat bahawa GST suatu sistem percukaian yang baik, namun pelaksanaan yang penuh agenda tersirat, tidak jelas lagi kurang pemantauan membuatkan rakyat menderita.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah mengakui GST adalah sistem percukaian yang cekap namun perlulah disertai dengan prasyarat atau infrastruktur tertentu, seperti pendapatan rakyat yang tinggi dan negara memiliki struktur percukaian yang baik.

Namun, walaupun dihebahkan kepada umum dua tahun sebelum pelaksanaannya, GST yang dilaksanakan di Malaysia sejak April lalu telah menambah derita rakyat ketika warga Malaysia masih ramai yang berhempas-pulas untuk memenuhi keperluan asas.

Pengenalan GST ini - akibat kegagalan persediaan kerajaan untuk memantau pelaksanaannya - membuka ruang kepada peniaga mengenakan caj berlebihan kepada pelanggan yang akhirnya menyebabkan pendapatan boleh belanja rakyat Malaysia kian menyusut.

Akibat kelemahan dalam sistem pentadbiran kerajaan, setakat ini tidak sampai 10 pun kedai yang diambil tindakan undang-undang kerana mengeksploitasi GST itu untuk menaikkan keuntungan mereka semata-mata sekaligus melonjakkan 'keberanian' kedai lain untuk terus menaikkan harga sesuka hati dengan alasan GST.

Turun kecil sangat

Ketika Malaysia di bawah teraju Tun Abdullah Ahmad Badawi, rakyat dikemudiankan dengan beberapa siri kenaikan harga minyak di kadar tidak masuk akal sehingga harga barangan asas seperti beras turut meningkat sekali ganda, kini Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri 'mendahulukan' rakyat dalam usaha "menambah" pendapatan negara.

Lebih memeritkan keadaan apabila ketika kebanyakan rakyat semakin resah gelisah dengan kenaikan harga barang, terpacul pula cerita-cerita pembelian jet baru dan perbelanjaan mewah pemimpin UMNO yang akhirnya memberi kelebihan kepada pembangkang.

Terima kasih BN.  

Jika kerajaan sendiri tidak bersedia untuk melaksanakan GST dengan menaikkan pendapatan rakyat dan menjalankan aktiviti penguat kuasaan serta pemantauan yang lebih effisien bagi memastikan ianya tidak disalah guna oleh golongan peniaga, apakah kesediaan kebanyakan rakyat Malaysia untuk menerima GST ini yang pada mulanya dijanjikan penurunan harga tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Walaupun rakyat dijanjikan penurunan harga apabila sistem cukai jualan dan perkhidmatan 10 peratus digantikan 6 peratus GST, secara logiknya ia membuatkan barangan menjadi semakin murah.

Namun penurunan ini sangat kecil berbanding kenaikan barangan dan perkhidmatan lain akibat GST yang akhirnya menambah beban rakyat Malaysia.

Justeru, jika sesuatu dasar yang melibatkan kepentingan awam itu hendak dilaksanakan tanpa persediaan yang cukup kuat, maka sewajarnya ditangguhkan dahulu sehingga semua pihak bersedia untuk menjalankannya dan menerimanya, oleh kerajaan dan rakyat sendiri.


AMRAN AHMAD merupakan ahli Melayu dalam DAP sejak 2009 dan kini menyambung pengajian peringkat sarjana di sebuah universiti terkemuka United Kingdom tanpa ehsan MARA walaupun sesudah merayu. Terima kasih MARA...

Lihat Komen
ADS