Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fandi: Balas dendam yang memuaskan hati
Diterbitkan:  May 24, 2015 10:21 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

Jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad menyifatkan kejayaan mengalahkan bekas juara dua kali, Kelantan, 3-1 pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur malam tadi sebagai membalas dendam yang memuaskan hati.

    

Fandi, yang berjanji untuk membawa trofi Piala FA menyeberangi Selat Tebrau, turut memuji skuad muda itu atas kejayaan mengejutkan 'The Red Warriors' yang lebih mantap serta dibarisi empat pemain import.

    

Sebagai rekod, Lions XII mengalami kekalahan 2-0 kepada Kelantan pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu, pada 15 Feb lepas.

    

"Adalah manis untuk menang ke atas Kelantan malam ini...kami sudah membuktikan ramalan oleh semua pihak adalah tidak tepat.

    

"Kami tidak mempunyai pemain bintang dalam pasukan tetapi pemain melakukan yang terbaik di bahagian serangan dan juga penjaga gol, Mohd Izwan Mahbud, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

"Kejayaan ini adalah baik untuk pasukan dengan sebahagian pemain menyertai skuad Sukan SEA Singapura. Ini akan memanfaatkan pemain lain dalam pasukan," kata Fandi kepada pemberita selepas perlawanan itu.

    

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi atas kesilapan kecil di barisan pertahanan.

    

Bagaimanapun, beliau berjanji skuad itu akan bangkit semula dengan lebih mantap pada musim depan.

    

"Selepas gol penyamaan, kami fikir semua akan berjalan lancar dan boleh memenangi perlawanan ini tetapi malangnya gagal. Bukan mudah menentang Lions XII yang bermain dengan baik.

"Kami juga mempunyai banyak peluang tetapi gagal melakukan jaringan," katanya.

    

Lions XII, selaku pasukan bukan pilihan, melakukan kejutan apabila membuka jaringan awal pada minit keenam menerusi pemain sayap, Muhammad Faris Ramli sebelum Kelantan menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor.

    

Pemain gantian, Mohd Shail Suhaimi muncul wira pasukan Lions XII apabila melakukan jaringan gol kedua pada minit ke-81 dan kemudian menyempurnakan tendangan penalti pada masa kecederaan minit ke-94.

-Bernama

Lihat Komen
ADS