Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang diumumkan pada 21 Mei 2015 telah menyentuh aspek pendapatan isi rumah yang mengukuhkan persepsi bahawa Malaysia mempunyai 40 peratus kelas menengah.

RMK11 juga mensasarkan peningkatan kepada 45 peratus kelas menengah pada tahun 2020.

Pada masa yang sama, RMK11 juga menggunakan konsep "isi rumah M40" apabila menyentuh kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan.

Penggunaan konsep ini agak mengelirukan di mana kumpulan berpendapatan pertengahan (middle income group) telah disamakan dengan kelas menengah (middle class) secara sedar atau tidak sedar.

Sesungguhnya, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (middle income group) tidak bersamaan dengan kelas menengah (middle class).

Menurut Laporan RMK11, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan atau "isi rumah M40" merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan di antara 41 peratus hingga 80 peratus daripada taburan pendapatan keseluruhan.

Pada tahun 2014, pendapatan "isi rumah M40" adalah dalam julat RM3,855 dan RM8,135 yang mana pendapatan purata adalah RM5,662 dan pendapatan penengah adalah RM5,465.

Konsep "isi rumah M40" mempamerkan pendapatan kumpulan isi rumah yang merupakan sebahagian daripada taburan pendapatan keseluruhan.

Dua lagi konsep berkaitan ialah kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau "isi rumah B40" dan kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus teratas atau "isi rumah T20".

Hal ini bermaksud, konsep "isi rumah M40" merujuk kepada sifat pendapatan pertengahan dan bukannya sifat kumpulan masyarakat yang mempamerkan gaya dan kualiti kehidupan kelas menengah. "Middle income group" dan "middle class" adalah dua konsep berbeza.

Mitos

Pemahaman ini mustahak sekali kerana permasalahan dalam pemahaman konsep di atas telah membawa kepada mitos bahawa Malaysia mempunyai peratusan kelas menengah yang tinggi seolah-olah Malaysia telah memasuki status negara maju yang berpendapatan tinggi.

Menurut Laporan RMK11, pada masa ini, terdapat 2.67 juta "isi rumah M40" di Malaysia. Hal ini tidak bermaksud, kumpulan isi rumah ini tergolong sebagai kelas menengah.

Justeru, terdapatnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan tidak bermaksud Malaysia mempunyai 40 peratus isi rumah yang tergolong sebagai kelas menengah.

Sesungguhnya, menurut Laporan United Nations Development Programme (UNDP), yakni "Malaysia Human Development Report 2013: Redesigning an Inclusive Future" yang dilancarkan pada 2014 dan dijadikan rujukan semasa perancangan RMK11, kelas menengah di Malaysia berkisar sekitar 19 peratus daripada jumlah populasi Malaysia semenjak tahun 1989.

Dua dasawarsa kemudian, saiz kelas menengah di Malaysia berkisar sekitar 22 peratus antara tahun 2009 hingga 2012.

Hal ini bermaksud, saiz kelas menengah bukanlah 40 peratus. Tetapi penggunaan konsep "kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan" secara meluas telah memberi gambaran tidak tepat berkenaan saiz kelas menengah di Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dinyatakan dalam Laporan RMKe-11, pada masa ini, terdapat 2.67 juta "isi rumah M40" dengan julat pendapatan antara RM3,855 hingga RM8,135.

Dalam konteks semasa dan juga konteks lima tahun akan datang, apakah kewajaran menggolongkan kumpulan isi rumah berpendapatan antara RM3,855 hingga RM5,000 sebagai kelas menengah?

Daripada "isi rumah M40", mungkin lebih wajar jika hanya kumpulan isi rumah berpendapatan antara RM5,001 hingga RM8,135 digolong sebagai kelas menengah.  

60% isi rumah bawah kelas menengah

Berikutan penjelasan di atas, jika diandaikan 20 peratus daripada "isi rumah M40" tergolong sebagai kelas menengah, maka 20 peratus isi rumah yang selebihnya berada di bawah kelas menengah.

Apabila diambil kira angka "isi rumah B40" serta sebahagian daripada perangkaan "isi rumah M40", maka terdapat 60 peratus isi rumah yang berada di bawah kelas menengah.

Kumpulan 60 peratus ini terdiri daripada isi rumah miskin, isi rumah mudah terjejas dan isi rumah aspirasi.

Laporan RMK11 telah mendefinisikan isi rumah mudah terjejas sebagai isi rumah berpendapatan antara paras garis kemiskinan (PGK) dan 2.5 kali PGK. Seterusnya, Laporan RMK11 mendefinisikan isi rumah aspirasi sebagai isi rumah berpendapatan antara 2.5 kali paras garis kemiskinan (PGK) dan pendapatan purata nasional.

Berdasarkan penetapan pemerintah pusat mengenai paras garis kemiskinan (PGK) sebanyak RM800, maka isi rumah mudah terjejas merujuk kepada isi rumah berpendapatan antara RM800 dan RM2000 sementara isi rumah aspirasi merujuk kepada isi rumah berpendapatan antara RM2000 dan RM5,270.

Angka RM5,270 merupakan pendapatan bulanan purata yang menjadi sasaran RMK11 dalam meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah. Tetapi sebelum mencapai sasaran, isi rumah aspirasi adalah mereka yang mengaspirasikan status kelas menengah tetapi belum mencapai status tersebut.

Penjelasan ini penting untuk menonjolkan pembangunan Malaysia yang berdepan dengan "stagnation".

Dalam konteks perkembangan ini, persepsi bahawa "isi rumah M40" sama dengan kelas menengah bukan sahaja mengelirukan malah membawa trajektori pembangunan masyarakat ke arah yang menjauhi sasaran RMK11.


OOI HENG Pengarah eksekutif Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Lihat Komen
ADS