Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'wak serap GST, kata ketua menteri
Diterbitkan:  May 25, 2015 8:00 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Sarawak akan menyerap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi perkhidmatan perbandaran dan kerajaan negeri, umum Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem semalam.

Beliau yang berkata langkah tersebut adalah sebahagian usaha kerajaan negeri meringankan beban rakyat.

Adenan bagaimanapun tidak menyatakan bila penyerapan GST itu akan dikuatkuasakan.

Menurutnya, kerajaan negeri menyedari pelaksanaan GST telah mengakibatkan kenaikan harga beberapa barangan di negeri ini dan secara langsung membebankan rakyat.

“Kita akan bayar (GST kepada Kerajaan Persekutuan) bagi pihak rakyat. Perkara ini kita buat semata-mata untuk Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pemansuhan kutipan tol Jambatan Lanang di Sibu.

Setakat ini, Terengganu dan Pulau Pinang telah mengumumkan akan mengikut jejak langkah Johor menyerapkan GST yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat sementara Pahang dan Selangor masih mengkaji perkara tersebut. 

Sebelum ini Adenan telah menurunkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan industri, memansuhkan kutipan tol jambatan dan mengurangkan kutipan bayaran feri bagi menyeberang sungai-sungai di negeri itu.

Beliau turut memberitahu akan terus berusaha dalam rundingannya dengan Petronas untuk mendapatkan pertambahan royaliti hasil minyak dan gas bagi Sarawak dari lima kepada 20 peratus.

Hasil rundingan itu sehingga kini, Petronas telah memperuntukkan kontrak bernilai RM2.1 bilion diagihkan kepada syarikat-syarikat Sarawak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS