Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu pelarian: MP Umno raikan sikap LGE
Diterbitkan:  May 25, 2015 9:33 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Ahli Parlimen Umno, Reezal Merican mengambil pendekatan yang berbeza daripada Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau menghargai kesediaan kerajaan Pulau Pinang yang berkata akan mempertimbangkan cadangan bagi penempatan sementara pelarian Rohingya dan Bangladesh diwujudkan di negeri itu.

Reezal berkata kesediaan kerajaan negeri untuk mengkaji cadangan tersebut sudah cukup untuk menunjukkan sikap keterbukaannya dalam usaha mencari penyelesaian terhadap krisis itu, yang mungkin menyaksikan Malaysia menjadi rumah sementara kepada ribuan pelarian orang Rohingya.

Katanya, cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar agar kumpulan pelarian ini ditempatkan di Pulau Pinang, di atas faktor geo-strategik, perlu diberikan perhatian yang serius.

"Setakat ini, ketua menteri dan kerajaan negeri Pulau Pinang juga dikatakan akan meneliti pelbagai faktor dalam memberikan kerjasama.

"Saya secara peribadi, menganggap kesediaan kerajaan negeri mengkaji perkara ini amat dihargai dan sangat dialu-alukan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Reezal, warga Rohingya tidak mahu berada dalam keadaan yang terdesak itu, malah mereka berhadapan dengan situasi yang sangat sukar di tanah air sendiri.

"Jika laporan yang dibuat beberapa akhbar adalah benar, sikap ketua menteri Pulau Pinang untuk melihat terlebih dahulu cadangan agensi Persekutuan dalam perkara ini saya alu-alukan.

"Benar, kami mungkin berbeza pendapat dalam banyak isu, tetapi keterbukaan Guan Eng dalam masalah pelarian Rohingya ini saya raikan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri dilaporkan berkata Jabatan Imigresen telah mengenal pasti beberapa lokasi, termasuk di Pulau Pinang, untuk menempatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh yang masih terkandas di perairan antarabangsa.

Namun, Zahid dilaporkan berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, mahu pelarian itu ditempatkan di tanah-tanah milik kerajaan Persekutuan.

"Ini bukan masanya untuk kita bermain 'kad kuasa' dan menunjukkan ego kita sebagai pemimpin. Ketepikan sementara ego dan melihat isu ini melalui perspektif kemanusiaan sebenar," tegas Reezal.

Seramai 1158 orang pelarian yang mendarat di Pulau Langkawi Kedah pada 11 Mei telah ditempatkan di pusat tahanan imigresen di Sik, Kedah.

Lim dipetik oleh The Star sebagai berkata bahawa kerajaan negeri sedang cuba memikirkan di mana di Pulau Pinang yang dimaksudkan oleh Khalid kerana negeri itu terlalu padat dengan penduduk untuk sesuai bagi tujuan itu.

Sebaliknya, Lim berkata kerajaan persekutuan perlu menyediakan tanah untuk tujuan itu, sambil menambah bahawa Pulau Pinang sudah pun menempatkan 50,000 pelarian.

Begitu juga dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang berkata Kedah tidak mempunyai sumber untuk mendirikan khemah penempatan sementara untuk ribuan pelarian.

Malaysia pada mulanya enggan membenarkan 7,000 pendatang yang terdampar di laut mendarat, tetapi bersetuju untuk menjadi negara transit untuk setahun, selepas tekanan antarabangsa.

Krisis ini tercetus di tengah-tengah penemuan kubur besar, yang dikatakan mangsa pemerdagangan manusia, di sempadan Thai-Malaysia.

[Baca berita penuh/asal]

 
 

Lihat Komen
ADS