Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ramai yang bertanya apakah halatuju saya untuk membawa Pemuda PAS dalam sessi akan datang.

Saya ingin jelaskan bahawa halatuju saya adalah mempersiapkan Pemuda PAS sebagai generasi kemenangan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Perkembangan politik negara pada masa ini menunjukkan desakan yang semakin kuat ke arah perubahan dalam menggantikan Umno/BN yang telah sekian lama berkuasa.

Mereka berleluasa memerah hasil bumi negara ini sehingga ke paras hutang negara dan isirumah yang menjerut leher serta keruntuhan akhlak dan moral rakyat ke tahap yang terendah dan sangat menakutkan.

Parti pemerintah Umno pada masa ini menghadapi masalah dalaman yang cukup rumit. Pertembungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah sampai di kemuncaknya.

Sama ada Najib menang atau Dr Mahathir yang menang, Umno tetap akan tercedera untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Rakyat akan terus menolak BN dalam pilihanraya akan datang. InsyaAllah Pakatan Rakyat akan menjadi pilihan rakyat Malaysia dalam pilihan raya akan datang.

Adalah menjadi kewajipan bagi kita untuk memastikan bahawa Pemuda PAS bukan sekadar menjadi penumpang atau tempelan kepada perubahan yang diinginkan, sebaliknya menjadi teraju utama, perencana agenda dan pemain terpenting yang tidak mungkin dikesampingkan.

Justeru generasi kemenangan ini mesti dipersiapkan di setiap jiwa para pemuda PAS untuk menghadapi kemenangan dalam tempoh tidak sampai 3 tahun daripada sekarang. Inilah yang sepatutnya diberi fokus Pemuda PAS pada sesi akan datang.

Selama 18 bulan yang telah dilalui dalam sessi 2013-2015 adalah terlalu pendek. Pemuda PAS Malaysia telah melaluinya dengan penuh cabaran ditengah-tengah masalah dalaman dan kegelisahan rakyat terhadap halatuju PAS waktu ini.

Dalam tempoh 18 bulan Pemuda PAS Malaysia hanya boleh bergerak dengan  berkesan pada 9 bulan kedua selepas rombakan kecil exco Pemuda PAS Malaysia sejurus muktamar yang lepas.

Cahaya di hujung terowong

Rombakan terhadap jawatan setiausaha dan ketua penerangan Pemuda PAS telah banyak membantu pergerakan pemuda berbanding sebelum muktamar yang lepas.

Hasilnya Pemuda PAS dapat mencetuskan dan melaksanakan idea Projek Rumah Budiman. Ini adalah projek rumah mangsa banjir di Kelantan. Setakat ini Pemuda PAS telah mengutip dana lebih daripada setengah juta ringgit Malaysia.

Sebanyak lima buah rumah telah siap dibina dan 10 buah lagi dalam proses pembinaan. Kerajaan Persekutuan baru menyiapkan 6 buah rumah sahaja setakat ini.

Jika perbandingan dibuat di antara prestasi sebuah kerajaan dan sebuah sayap parti maka prestasi pemuda PAS lebih baik daripada kerajaan persekutuan.

Pemuda PAS juga telah menjadi sekretariat Himpunan Hari Pekerja #batalGST pada 1 Mei 2015 yang lepas. Parti politik dan NGO telah bersama dalam penganjuran himpunan ini. Ribuan rakyat Malaysia tidak kira agama mahupun bangsa telah hadir membantah GST.

Mereka berarak dan berkumpul di hadapan KLCC. Kerajaan BN rasa tergugat dengan himpunan ini telah membuat tangkapan terhadap pimpinan utama NGO dan Pakatan Rakyat. Inilah sedikit sumbangan Pemuda PAS Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia yang tertindas.

Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) dibawah Pemuda PAS Malaysia telahmenjadi kebangaan semua apabila telah memiliki lebih 100 ribu pelajarnya pada tahun ini.

PASTI telah menjadi pusat asuhan kanak-kanak pra-sekolah swasta yang terbesar dalam negara ini. Pemuda PAS telah dan sedang mengembangkan pendidikan diperingkat sekolah rendah pada waktu ini.

Dalam meredakan kehangatan politik dalaman PAS mutakhir ini. Pemuda PAS Malaysia telah mengangkat idea Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan menganjurkan Seminar Perbezaan Pendapat.

Seminar ini mendedahkan kepada peserta berkenaan adab menguruskan perbezaan pendapat. Kehadiran peserta seluruh negara yang sangat membanggakan memberi isyarat adanya cahaya dihujung terowong yang mahukan pendekatan politik budiman iaitu satu pendekatan politik sederhana dalam PAS.

Prestasi Pemuda PAS Malaysia dalam sessi lepas telah menjadi bukti kesungguhan pemuda untuk menjadi pengisi kepada kemenangan selepas pilihan raya ke-14 akan datang. Soalnya apakah rekabantuk generasi kemenangan ini?

Gagasan Pemuda Al-Helmy

Generasi kemenangan yang diimpikan oleh Pemuda PAS Malaysia adalah mereka yang memiliki tarbiyah harakiyah Islamiyah yang bersifat Kaffah iaitu menyeluruh.

Saya ingin mengagaskan Pemuda Al-Helmy sebagai gagasan pemuda kemenangan. Pemuda Al-Helmy adalah Pemuda yang memiliki pakej 'rabbani', 'faqih' dan 'haraki'.

Rabbani merujuk kepada pengukuhan tarbiah ruhiyyah yang mantap sehingga melahirkan nafsiah muslimah iatu jiwa yang mantap dengan tazkiyatun nafs yang konsisten dan bersungguh-sungguh.

Keutuhan ruh inilah yang akan meniupkan daya juang untuk terus konsisten. Pemuda 'rabbani' juga adalah pemuda yang memelihara ukhuwwah Islamiyah dan menyantuni para muslimin khususnya kepada sahabat-sahabat seperjuangannya.

Proses tazkiyatun nafs ini juga melahirkan para pemuda yang tawadhuk dan mudah berlapang dada dalam menyantuni ikhtilaf di kalangan para aktivis pemuda. Pemuda 'rabbani' bijak menangkis anak panah fitnah beracun sama ada daripada menembusi tubuh saudaranya atau tubuhnya sendiri.

'Faqih' merujuk kepada sifat aqliyah muslimah iaitu minda yang mantap dengan fikrah dan kefahaman Islam yang sahih dan syumul.

Sheikh Dr Yusuf al Qaradhawi menyebutkan bahawa 'rijal al taghyir' (generasi perubahan) hendaklah berusaha menguasai dua peringkat fiqh yang penting iaitu 'fiqh al-shar’i' atau fiqh al-nusus (faham syariah) dan fiqh al-waqi’ (faham realiti).

'Fiqh al-Nusus' bermaksud memahami nas-nas syarak dan maqasid di sebalik nas-nas tersebut. Fiqh al Waqi’ pula bermaksud memahami realiti semasa berdasarkan maklumat-maklumat yang mendalam dan tepat.

Justeru Pemuda PAS harus melipatkan usaha untuk memantapkan pemahaman terhadap nas–nas al-Quran dan al-Sunnah melalui pelbagai platform majlis ilmu termasuklah usrah, kuliah, tamrin dan sebagainya.

Pemahaman terhadap nas mesti berjalan seiring dengan pemahaman terhadap realiti semasa supaya perlaksanaan nas tidak kelihatan canggung lantaran kecelaruan dalam menekuni realiti.

'Haraki' bermaksud pemuda yang sentiasa bergerak dalam pelbagai lapangan amal Islam dengan penuh kompeten sehingga memberi manfaat kepada Ummah dan kejayaan kepada Islam.

Kunci kata kepada ciri 'haraki' ini adalah amal dan kompetensi. Kita tidak mahu pemuda yang hanya berteori, berkuliah dan berwacana tetapi tidak turun ke lapangan untuk merealisasikan amal Islami dan menjadi khadam kepada rakyat.

Amal biarpun ikhlas, tanpa kompetensi akan menyebabkan amal tersebut tidak efisen dan berimpak tinggi. Justeru Pemuda PAS haruslah terus berusaha menajamkan kemahiran dan keupayaan dan membina kepakaran dalam pelbagai bidang kerana kemahiran ini akan memaknakan sumbangan kita kepada Ummah.

Nama Al-Helmy diambil adalah daripada nama Yang Dipertua Agung PAS ketiga iaitu Dr Burhanuddin Al-Helmy. Beliau yang mempunyai ciri-ciri rabbani, faqih dan haraki telah berjaya meletakkan PAS dalam arus perdana gelanggang politik Malaysia.

PAS di bawah kepemimpinannya berjaya melonjakkan jumlah kerusi parlimen daripada 1 kerusi dalam pilihan raya 1955 kepada 13 kerusi dalam pilihan raya 1959 selain berjaya menawan negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya 1959.

Ciri rabbaninya telah memberi ketahanan pada jiwanya yang ditahan beberapa kali dalam penjara. Ciri Faqihnya dalam ilmu Fiqh al Nusus dan Fiqh al Waqi’ telah meletakkan beliau setanding dengan pimpinan sezaman dengannya seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar, Ahmad Boestamam dan lain-lain.

Ciri harakinya telah membawa beliau terjun ke tengah-tengah masyarakat dengan membawa idea-idea Islamik yang mampu dicerna dan diterima oleh masyarakat.


SUHAIZAN KAIAT ketua Pemuda PAS.

Lihat Komen
ADS