Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menafikan bahawa tiga ikon PAS bakal dipecat parti kerana didakwa mengkritik kepimpinan parti sehingga tersebar meluas dalam media sosial.

Beliau menyifatkan dakwaan bahawa Ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS Sulaiman Ibrahim (Leman Raja Lawak), AJK Dewan Muslimat Wan Aishah Wan Ariffin (penyanyi) dan bekas juruterbang Zaidi Ahmad "sengaja diada-adakan".

Selebriti dan bekas pegawai kanan tentera udara diraja Malaysia itu sering menghiasi pentas PAS melalui ceramah dan kempen pilihan raya.

"Tak betul tu. Isu ini sengaja diada-adakan. Tak ada angin, tak ada ribut," katanya melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini pagi ini.

Mustafa berkata setakat ini beliau tidak menerima apa-apa aduan atau maklumat berhubung dakwaan bahawa mereka mengkritik pemimpin parti melalui aplikasi WhatsApp seperti laporan Sinar Harian hari ini.

Akhbar harian itu melaporkan bahawa ekoran dakwaan tersebut, beberapa anggota parti mencadangkan supaya mereka dipecat keahlian kerana terlalu lantang menyuarakan pandangan.

Dalam laporan tersebut, Sulaiman yang dikenali Leman Raja Lawak dan Aisyah berkata mereka reda dengan tindakan yang diputuskan parti namun menjelaskan mereka hanya menyuara pandangan terhadap kepimpinan dalam parti.

Laporan itu menyebut, Sulaiman menegur golongan ustaz supaya pendekatan mereka "tidak terlalu ekstrem" kepada bukan Islam, tidak mengecewakan harapan kumpulan anak muda yang mengundi parti dan mendakwa kumpulan itu gagal melaksanakan tanggungjwab sebagai pemimpin Islam.

"Ada sesetengah ahli mengkritik jemaah sendiri bagi mendapatkan jawatan, sedangkan dalam Islam harus memberika idea dan hala tuju masa depan parti apabila dipilih sebagai ketua.

"Ada pemimpin hanya menggunakan Islam dan agama demi kepentingan peribadi," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Sementara itu, dalam laporan yang sama, Aishah pula kesal perbincangannya secara tertutup dalam media sosial tersebar dan dijadikan isu, bahkan mempersoal mengapa kepimpinan dalam parti tidak boleh dikritik.

"Komen yang saa berikan hanyalah dalam grup WhatsApp sahaja. Takkan pula dalam laman sosial pun tak boleh menyatakan pendirian secara peribadi?" sola Aishah seperti dilapor akhbar itu.

Lihat Komen
ADS