Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bos 1MDB tak lari dari PAC
Diterbitkan:  May 26, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan yang eksekutif kanan dan bekas eksekutif kanan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan hadir untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Pegawai terbabit akan hadir memberi keterangan kepada PAC, mereka tidak lari," katanya apabila ditanya adakah mereka akan berbuat demikian.

Bercakap dalam sidang akhbar di akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Jepun, Najib yang juga menteri kewangan berkata, pegawai terbabit perlu menyelesaikan sesuatu.

"Mereka akan muncul... mereka akan datang," katanya selepas dialog dengan pelajar di Universiti Tohoku di Sendai (Jepun).

Presiden yang juga pengarah eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO, Datuk Shahrol Halmi telah dijadualkan memberi keterangan kepada PAC hari ini, tetapi sebaliknya mereka memohon untuk memberi keterangan pada tarikh lain.

   

PAC diberitahu Kementerian Kewangan Jumaat lepas yang pendengaran 1MDB yang ditetapkan hari ini perlu ditangguhkan kerana Arul Kanda dan Shahrol tidak dapat menghadirinya berikutan komitmen di seberang laut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, 1MDB berkata, Arul Kanda dan Shahrol bersedia hadir di depan jawatankuasa itu dan berpeluang untuk menjelaskan kedudukan syarikat berkenaan.

Minggu lepas, PAC telah memulakan siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik kerajaan itu yang menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan kedudukan kewangannya.

Sementara itu, tarikh baru sedang dimuktamadkan untuk Arul dan Shahrol hadir di hadapan PAC bagi memberi penjelasan berhubung kedudukan syarikat pembangunan strategik itu, demikian  menurut 1MDB dalam kenyataan hari ini. 

"Kami sekali lagi mengulangi hasrat kami untuk memberi kerjasama penuh  kepada PAC serta Arul Kanda dan Datuk Shahrol Halmi berharap untuk hadir di hadapan jawatankuasa dan mempunyai peluang menjelaskan kedudukan 1MDB," tambahnya.

1MDB menjelaskan bahawa ia hanya menerima surat daripada Kementerian Kewangan pada 21 Mei, 2015, yang disertakan panggilan daripada PAC.

Panggilan itu, yang dialamatkan ke Kementerian Kewangan, meminta kehadiran syarikat tersebut di hadapan jawatankuasa itu pada 26 Mei. 

Selepas menerima surat tersebut, 1MDB memberi maklum balas kepada Kementerian Kewangan pada 21 Mei, hari yang sama syarikat itu menerima panggilan tersebut.

Seperti yang disahkan Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed, tarikh baru sedang dimuktamadkan berikutan tarikh yang dicadangkan sebelum ini bertembung dengan komitmen jadual di luar negara yang dibuat sebelum ini. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS