Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nasihat hakim: Sayang suami berpada-pada
Diterbitkan:  May 26, 2015 4:00 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

"Sayang suami berpada-pada, jangan sayang suami sampai sanggup lakukan jenayah. Nak tolong suami mesti ada hadnya," kata Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang sebelum menjatuhi hukuman terhadap seorang eksekutif akaun yang didakwa memalsukan tandatangan.

Norsharidah menjatuhi hukuman penjara 40 bulan ke atas Bok Chuen Er, 32, yang mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan dua tandatangan pada sekeping cek Public Bank bernilai RM963,722.94 milik Syarikat New Era Enterprise Sdn Bhd, tempat dia bekerja bertujuan memperdayakan pihak bank.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Ipoh, Sentul jam 8 pagi, pada 2 Julai 2014.

Bok didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Norsharidah memerintahkan Bok menjalani hukuman tersebut bermula tarikh dia ditangkap, iaitu semalam (25 Mei).

Ketika rayuan, Bok yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman paling ringan atas alasan ia merupakan kesalahan pertamanya dan merupakan pengalaman yang menderitakan serta menyesali perbuatannya itu.

"Saya terdesak membantu suami menyelesaikan hutangnya dengan 'Along' sejak enam tahun lepas yang berjumlah RM620,000. Suami saya pernah cedera ketika bekerja dalam bidang pembinaan dan kini tak mampu melakukan kerja-kerja berat.

"Saya yang banyak menanggung keluarga, jadi saya mohon hukuman paling ringan supaya boleh teruskan hidup di samping keluarga," katanya dalam keadaan sebak dan menangis.

Bok berkata dia mempunyai tiga orang anak yang masih kecil berumur antara dua hingga lima tahun selain menanggung ibu yang berusia 58 tahun dan sakit.

Timbalan Pendakwa Raya S. Nithiya bagaimanapun memohon hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan serius.

"Tertuduh dipertanggungjawabkan untuk menyediakan cek tetapi dia melanggar amanah itu dengan meniru tandatangan majikan untuk mengeluarkan cek dalam jumlah yang besar," katanya.

Beliau berkata jumlah cek hampir RM1 juta itu menunjukkan tertuduh berani meniru tandatangan dua orang dan mendepositkan ke dalam akaunnya sendiri dan menunaikan serta mengeluarkan jumlah yang besar hampir RM500,000.

"Tindakan pantas pihak syarikat yang membuat laporan polis dan membekukan akaun tertuduh telah berjaya mendapatkan kembali RM448,000," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS