Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Ali persoal Utusan lapor isu ajaran tarekat
Diterbitkan:  May 26, 2015 7:00 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mempersoal akhbar Utusan Malaysia melaporkan isu ajaran tarekat termasuk kemasukan ulama luar yang berdakwah sehingga didakwa bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Beliau berkata tidak semua kegiatan dakwah yang dilakukan oleh ulama luar bertentangan dengan mazhab akidah itu malah kumpulan tasawuf dan tarekat turut dipantau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam setiap negeri.

"Sepatutnya kegiatan kumpulan pendakwah tersebut terlebih dahulu dirujuk kepada Jakim atau Majlis Agama (Islam), bukannya membuat tuduhan dengan mengambil pandangan mereka yang kurang arif terhadap ilmu tersebut.

"Apakah kerana disebabkan segelintir membawa ajaran bertentangan dengan ASWJ, maka akhbar berkenaan menghukumkan kesemua kumpulan tarekat dan habib tersebut sebagai songsang dan sesat?" soal beliau dalam blognya hari ini.

Menulis dalam blognya, Syed Ali turut mempertahankan kehadiran Habib Umar Hafiz dan Habib Syech Abdul Qodir Assegaf yang menjadi sasaran akhbar itu, kerana sepanjang pengetahuannya mereka "tidak menyimpang" dari ajaran Islam.

Sekalipun tidak menafikan ada kumpulan tertentu yang mengambil kesempatan sehingga mengaku habib atau ulama, Syed Ali berkata tidak adil dan melulu mengaitkan mereka dengan ajaran tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyah yang diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2000 dan.

Dalam tulisannya juga, bekas senator itu mendakwa akhbar itu "cuba menanam persepsi negatif" masyarakat Islam terhadap peranan kumpulan pendakwah itu ekoran pendedahan isu tarekat sejak beberapa hari lalu.

 

Menurutnya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan wujud gerakan menghancurkan tarekat yang didakwanya menjadikan akhbar Utusan Malaysia sebagai medium menarik perhatian umat Islam.

"Akhbar berkenaan sudah melampau, sengaja memainkan isu untuk merosakkan ukhwah dan menimbulkan kekecohan dan kekeliruan di kalangan umat Islam di Malaysia," katanya yang menyuarakan kekecewaan tindakan mengaibkan habib itu.

Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan pendirian beliau berhubung pendedahan akhbar itu yang didakwanya mengaibkan golongan pendakwah dan habib.

Lihat Komen
ADS