Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Barisan Nasional perlu menjawab pertanyaan Hindraf bahawa rancangan pembangunan kerajaan persekutuan tidak memberi manfaat kepada masyarakat India, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy.

Ramasamy berkata, memorandum persefahaman (MoU) 18 perkara yang ditandatangani antara Hindraf dan Najib pada April 2013, dua minggu sebelum pilihan raya umum ke-13, untuk membela nasib golongan miskin kaum India, harus dihormati kerana ia merupakan dokumen yang diikat undang-undang.

"Jika anda tidak menjawab pertanyaan itu, anda akan memusnahkan sokongan dan kepercayaan NGO itu terhadap kerajaan persekutuan untuk melaksanakan rancangan bagi meningkatkan kehidupan masyarakat India," katanya ketika ditemui  di pejabat Penang Hindu Endowment Board (PHEB) semalam.

"Berapa lama lagi untuk anda menjawab pertanyaan masyarakat India bahawa rancangan pembangunan anda tidak relevan pada mereka?" tanya Ramasamay kepada Najib.

Ramasamy ditanya mengenai pertanyaan Hindraf sama ada apa yang dipersetujui dalam MoU itu, ditangani dalam Rancangan Malaysia ke-11, yang diumumkan oleh Najib pada 21 Mei.

Minggu lalu, penasihat Hindraf, N Ganesan memberitahu Malaysiakini bahawa berdasarkan pengalaman masa lalu, kemungkinan besar ia akan diabaikan begitu sahaja.

Satu-satunya hasil yang dapat dilihat daripada MoU itu adalah pelantikan Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menjaga hal ehwal kaum India.

Bagaimanapun, lapan bulan kemudian, Waythamoorthy meletak jawatan dan tugasnya diserahkan kepada Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang menyelia PHEB.

Mah yang juga ahli Parlimen Teluk Intan, berada di Pulau Pinang semalam untuk lawatan kerja sehari ke PHEB.

Ditanya mengenai MoU dan dakwaan Hindraf bahawa kerajaan BN masih belum menghormati perjanjian di antara NGO itu dan Najib, Mah hanya berkata, beliau akan menelitinya.

Semasa mesyuarat di pejabat PHEB kemudiannya, Ramasamy memberi taklimat kepada Mah mengenai cadangan Pulau Pinang untuk meminda Akta Penang Hindu Endowment, untuk memberi lembaga itu lebih kuasa untuk menjalankan projek-projek bagi manfaat masyarakat Hindu.

Mah (gambar) berkata, beliau akan membentangkan cadangan pindaan itu di Parlimen, dan akan bersetuju dengan cadangan tersebut selagi ia tidak melanggar undang-undang yang sedia ada.

Ramasamy juga memohon dana berjumlah RM6.2 juta untuk memasang elevator untuk mbolehkan warga emas dan masyarakat kurang upaya mengunjungi Kuil Murugan. Pada masa ini, ia mengambil masa 20 minit untuk sampai ke kuil itu dengan memanjat 513 anak tangga.

Semasa sidang akhbar, Mah berkata PHEB memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga kuil dan telah menjana pendapatannys sendiri, untuk menyediakan bantuan kewangan tahunan kepada pelajar yang memerlukan.

[Baca berita penuh/asal]

 
 

Lihat Komen
ADS