Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA bidas peraturan 'Taliban' muktamar PAS
Diterbitkan:  May 27, 2015 1:54 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

MCA membidas peraturan terhadap media dibuat PAS berkaitan laporan perjalanan muktamarnya di Kuala Selangor minggu depan.

Perkara itu termasuk berkaitan kaedah pemakaian pemberita dan larangan melaporkan berita yang memberi kesan tidak baik terhadap parti Islam itu.

"Menjadi tanggungjawab media untuk bertindak sebagai agen semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah dan parti-parti politik sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.

"Amat jelas bahawa PAS mahu berkelakuan seperti negara teokratik dengan menghalang apa jua artikel kritis atau pendapat yang difikirkan 'sepatutnya tidak dilaporkan'.

"PAS bersikap seperti kumpulan Taliban yang menghempas set televisyen dan memaksa rakyat Afghanistan hanya mendengar propaganda rasmi Taliban," katanya.

Peraturan petugas media ketika membuat liputan muktamar, jawatankuasa penerangan dan media muktamar menetapkan antara lain mengarahkan petugas media melaporkan berita dengan amanah, baik dan tidak memutarbelitkan apa jua yang berlaku sepanjang muktamar.

Selain itu, jawatankuasa itu juga menentukan kod etika pakaian kepada pemberita khususnya wanita yang tidak dibenarkan memakai pakaian ketat, menjolok mata, seluar pendek dan memakai skirt terbelah tetapi "sangat digalakkan" memakai tudung atau berselendang.

Mengulas lanjut, Chai, timbalan setiausaha organisasi MCA, turut mempersoalkan sama ada arahan itu bagi menghalang petugas media melaporkan pergeseran dalaman antara kumpulan ultra konservatif yang diketuai presiden PAS dan kumpulan pro-Erdogan yang diketuai timbalannya.

"Media adalah tonggal tidak rasmi keempat dalam demokrasi selepas kuasa parlimen, eksekutif dan kehakiman. PAS mesti berhenti hidup seperti 'maharaja tanpa pakaian'," katanya.

Beliau turut mengesyor supaya PAS berhenti berkelakuan sombong atau enggan berhubung dengan orang ramai dengan berkhayal sendirian dengan menyatakan rakyat mengalu-alukan pelaksanaan hukum hudud.

Mengulas mengenai kod etika pemakaian, Chai yang juga seorang senator berkata selagi nilai kesopanan ditunjukkan, PAS tidak seharusnya memberi tekanan dengan mengenakan nilai konservatif khususnya terhadap wanita bukan Islam untuk memakai tudung.

Lihat Komen
ADS