Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

FELDA akan menanggung 30 peratus bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada anak peneroka dengan syarat mereka tamat pengajian peringkat diploma dan ijazah pertama.

Ini diumumkan ketika sesi memeterai perjanjian memorandum persefahaman antara Felda dan PTPTN di Menara Felda di ibu negara hari ini.

Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menyarankan agar pihaknya memberi lebih bantuan kepada anak muda.

“Dulu PM ada pernah kata supaya Felda memikirkan cara untuk pemberikan bantuan kepada anak muda.

“Dan kita fikirkan ini merupakan cara terbaik dan kita salurkan kepada pihak PTPTN. Dengan kerjasama ini saya rasa lebih ramai anak muda yang mendapat kemudahan ini,” katanya.

Beliau berkata langkah itu merupakan satu strategi lautan biru untuk Felda dalam kerjasamanya dengan PTPTN dan setakat tahun ini sebanyak RM16 juta dibelanjakan bagi menampung 1,825 pelajar baru di institut pengajian tinggi (IPT).

Katanya, pengurangan 30 peratus tersebut akan disalurkan terus kepada PTPTN dan badan pinjaman kewangan itu bertanggungjawab mengemas kini akaun pinjaman pelajar.

Keistimewaan itu, katanya, tertakluk kepada pelajar baru sahaja yang melanjutkan pelajaran di IPT tempatan bermula pada 1 Januari 2014 sahaja.

Manakala, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata, langkah itu berjaya direalisasikan antara Felda dan PTPTN dalam memberikan kebaikan khususnya masyarakat.

Shamsul turut berharap agensi kerajaan dan swasta dapat melakukan usaha yang sama seperti Felda agar dapat memberi pendidikan kepada semua golongan.

Lihat Komen
ADS