Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menyangkal dakwaan 1MDB bahawa tempoh notis yang diberi untuk pegawainya hadir sesi pendengaran jawatankuasa itu, adalah terlalu pendek.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata Kementerian Kewangan telah diberitahu pada 6 Mei bahawa Presiden 1MDB Arul Kanda dan bekas CEO Datuk Shahrol Halmi mesti hadir pada 26 Mei.

Kementerian Kewangan adalah pemilik penuh 1MDB, yang kini menjadi subjek siasatan PAC.

Beliau berkata pihaknya tidak menghantar surat terus kepada saksi, tetapi kepada kementerian yang menyelia mereka.

Pada pihaknya, tegas Nur Jazlan, mereka telah memberi tempoh notis yang mencukupi, lebih daripada dua minggu.

Jadi, tegasnya, sama ada Arul lewat mendapat pemberitahuan itu, ia bukanlah masalah PAC.

Sebelum ini, Arul mendakwa Kementerian Kewangan hanya memberitahu syarikat itu mengenai perkara tersebut pada 21 Mei.

PAC menerima jawapan dari Arul, meminta lanjutan tempoh 30 hari, pada 22 Mei.

Arul mendakwa beliau dan Shahrol mempunyai komitmen awal di luar negara dan memerlukan masa untuk menyediakan dokumen yang diperlukan untuk pendengaran tersebut.

Nur Jazlan berkata jawatankuasa itu akan membenarkan lanjutan masa itu, terutama kerana terdapatnya maklumat  terbaru mengenai 1MDB.

"Jika mereka memberi keterangan, dan maklumat baru timbul, maka kita perlu memanggil mereka semula.

"Jadi, untuk berlaku adil, kita akan berikan mereka masa. Tetapi hanya sekali sahaja," katanya.

Nur Jazlan berkata Arul dan Shahrol akan dipanggil selepas selepas juruaudit 1MDB memberi keterangan.

Deloitte & Co dan KPMG telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada PAC masing-masing pada 10 Jun dan 17 Jun.

Ditanya mengenai memorandum dan tata urusan syarikat (M&A) yang menyatakan kelulusan bertulis Perdana Menteri Najib Abdul Razak diperlukan bagi sebarang komitmen kewangan Lembaga Terengganu Investment (TIA), Nur Jazlan berkata ia adalah pengetahuan umum.

Beliau berkata, maklumat itu boleh didapati dari Pendaftar Syarikat. Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak pernah melihat dokumen itu.

Mengenai sama ada PAC juga akan memanggil Najib, Nur Jazlan berkata jawatankuasa itu akan membuat keputusan mengenai perkara ini kemudian.

"Sabarlah," katanya sambil menambah bahawa PAC memanggil pegawa penyelia dahulu, dan kemudian pihak pengurusan, diikuti juruaudit, dan barulah ia akan memanggil lembaga pengarah.

Selepas mendapat semua maklumat itu, katanya, barulah pihaknya boleh membuat keputusan siapa yang akan dipanggil seterusnya, mungkin termasuk perdana menteri.

[Baca berita penuh/asal]

 
 


T

 

Lihat Komen
ADS