Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasuah: Pegawai FIFA diheret ke mahkamah
Diterbitkan:  May 27, 2015 5:40 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Dunia bola sepak dikejutkan dengan penahanan pegawai tertinggi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaan rasuah.

Seramai 14 orang pegawai FIFA – sembilan orang pegawai dan lima orang eksekutif korporat – didakwa atas tuduhan berhubung kesalahan pencatutan, penipuan dalam talian, dan konspirasi melibatkan pengubahan wang haram.

Sembilan orang pegawai tersebut adalah Jeffrey Webb, Eugenio Figueredo, Jack Warner, Eduardo Li, Julio Rocha, Costas Takkas, Rafael Esquivel, José Maria Marin dan Nicolás Leoz.

Lima orang eksekutif pemasaran itu ialah Alejandro Burzaco, Aaron Davidson, Hugo Jinkis, Mariano Jinkis dan José Margulies.

Laporan media antarabangsa menyebut, operasi untuk menahan para pegawai FIFA tersebut dijalankan di Zurich, Switzerland di satu resort mewah yang menjadi tempat mesyuarat tahunan badan dunia itu.

Antara pegawai yang ditahan dalam operasi hari ini ialah Eduardo Li dari Costa Rica.

Naib presiden FIFA, Jeffrey Webb juga disahkan ditahan pada hari ini. Webb merupakan presiden Confederation of North, Central America and Caribbean Association Football (Concacaf).

Kes tersebut berasaskan pada siasatan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) berhubung dakwaan rasuah yang berleluasa dalam FIFA sejak dua dekad lalu.

Menurut laporan, rasuah tersebut melibatkan bidaan untuk penganjuran temasya Piala Dunia termasuk hak pemasaran dan penyiaran.

Bagaimanapun, pengundian untuk temasya Piala Dunia 2018 dan 2022 dilaporkan tidak akan dijalankan semula walau dengan penahanan dan pendakwaan tersebut.

Pengarah komunikasi FIFA Walter De Gregorio dilaporkan berkata, Piala Dunia di Russia (2018) dan Qatar (2022) akan tetap berlangsung.

FIFA merupakan konglomerat dengan dana berbilion dolar yang mentadbir pertandingan sukan paling popular di dunia itu.

Ia baru saja merayakan ulang tahun penubuhannya ke-111 pada 21 Mei lalu.

- Agensi

Lihat Komen
ADS