Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demo anti-Rohingya berterusan di Yangon
Diterbitkan:  May 28, 2015 1:11 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Kumpulan berhaluan kanan Myanmar meneruskan siri demonstrasi anti-Rohingya di ibu negara itu bagi menyampaikan mesej bahawa negara itu tidak bertanggungjawab ke krisis migran dari wilayah Arakan dan Bangladesh.

Seramai 300 orang yang menyertai demonstrasi di Yangon semalam turut mendesak agar masyarakat antarabangsa menghentikan tekanan ke atas Myanmar atas krisis tersebut.

Laporan portal bebas Irrawaddynews menyebut, kumpulan tersebut memakai baju-T dengan slogan “Boat People are not Myanmar, Stop Blaming Myanmar (Pelarian bot bukan warga Myanmar, jangan salahkan Myanmar)”.

Mereka turut melaungkan slogan: “Boat people are from Bangladesh, stop making (up the) story of Rohingya, stop lying for Rohingya, (there are) no Rohingya in Myanmar (Pelarian bot dari Bangladesh, jangan reka cerita Rohingya, hentikan penipuan untuk Rohingya, tiadfa Rohingya di Myanmar).”

Menurut Irrawaddynews , siri demonstrasi anti-Rohingya sebelum ini dianjurkan oleh para sami Buddha berhaluan kanan yang memimpin The Association for the Protection of Race and Religion.

Bagaimanapun, demonstrasi semalam hanya disertai oleh satu kontinjen kecil para sami daripada kumpulan itu.

Penganjur bagi demonstrasi semalam adalah gabungan yang dikenali dengan nama Ha Pyar Zar (Pagoda Emas) yang meliputi organisasi nasionalis Rakhine Youth, Myanmar National Network dan Rakhine Rakeda (Lindungi Warga Arakan).

Siri demonstrasi itu semakin giat dijalankan susulan tekanan dari masyarakat antarabangsa agar Myanmar mengkaji semula peranannya yang menyumbang kepada masalah pelarian.

Selain itu, kerajaan dan pembangkang di negara itu juga dikritik kerana enggan menangani krisis Rohingya.

Kerajaan Myanmar sering mengelak jika isu Rohingya dijadikan agenda antarabangsa malah mengancam untuk tidak hadir dalam persidangan serantau jika ia dibangkitkan negara jiran.

Isu berkenaan kini semakin mendesak memandangkan Myanmar krisis migran itu berlaku ketika negara itu bakal mengadakan pilihan raya umum dan untuk kali pertama sejak 1990.

Kerajaan dan pembangkang enggan menyentuh isu berkenan demi kelangsungan politik mereka.

Pilihan raya itu akan disertai oleh parti pembangkang diketuai pemenang Hadiah Nobel dan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi (gambar) .

Lihat Komen
ADS