Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga hari berlalu, pemimpin muda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad masih belum dapat menyampaikan permohonan maaf kepada bintang rock Amy Search.

Lukman berkata, ketika menghubungi Amy, beliau hanya dapat berbual dengan isterinya yang mengangkat telefon dan menjangkakan penyanyi itu belum mahu berjumpa dengannya.

“Saya belum dapat jumpa lagilah.

“Saya ada berhubung dengan kak Norish, isteri abang Amy, setakat ini belum dapat jumpa kerana saya baca dalam berita dia (Amy) kata belum sedia nak jumpa saya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Lukman, seorang ahli motivasi berkata, isteri Amy juga tidak menyatakan dengan jelas sama ada bersedia berjumpa dengannya atau tidak.

Ketua Pemuda ISMA, NGO lantang Melayu, itu sebelum ini 'ditarbiah' Amy selepas mengelar Search, antara kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia, sebagai “hantu” yang menjadikan golongan belia teruk.

Ini susulan Search diundang mengadakan persembahan untuk sambutan Hari Beliau Negara yang berlangsung di Putrajaya minggu ini.

Menulis di Instagram, Amy berkata kumpulan beliau tidak harus dihina kerana “mereka itu sebahagian dari aku dan aku juga sebahagian dari mereka yang punya cita.”

“Tutur kata seorang motivasi itu seharusnya indah lagi mulia,” tegur Amy.

Lukman kemudian memohon maaf dan menyatakan hasratnya mahu bertemu Amy.

Sementara itu, ditanya kenapa beliau memoon maaf, beliau berkata ia susulan ramai yang marah dengan tulisan itu.

Mesej pada kementerian

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada akan menyokong konsert Search di masa akan datang tetapi hanya berkata mendukung persembahan yang mengikuti garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

“Saya akan sokong jika konsert itu bertepatan dengan tatacara JAKIM .

“Awak tahu kan sekarang JAKIM sudah keluarkan tatacara yang patuh syariah sebelum ini, contoh tidak boleh bercampur lelaki dan perempuan, tatacara sudah ada saya rasa ikut yang itu sudah bagus.

Beliau juga berkata mesej sebenar tulisannya sebelum ini mahu ditujukan kepada Kementerian Belia dan Sukan yang menganjurkan acara itu.

Katanya, ini memandangkan, saban tahu festival itu diadakan gagal membina jati diri belia.

“Belia ini kita nak bentuk (peribadi) dengan Islam bukan hiburan. Saya bukan nak tuju status itu kepada Amy atau Search kebetulan saya letak gambar Search dalam post tu, sebagai contoh sahaja. Jadi post saya disalah ertikan,” katanya.

Lihat Komen
ADS