Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada rondaan, 'kem maut' gagal dikesan
Diterbitkan:  May 28, 2015 1:46 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Pasukan keselamatan negara dilaporkan gagal membuat rondaan di kawasan yang dijadikan kem haram oleh sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand kerana faktor “bahaya”.

Oleh sebab itu, 'kem maut' yang menjadi 139 perkuburan warga asing di Bukit Wang Burma gagal dikesan walau dipercayai wujud sejak 2013, lapor Utusan Malaysia Online .

Laporan yang memetik kenyataan sumber menyebut, kawasan tersebut berbahaya kerana dikawal oleh individu yang lengkap dengan senjata api dan penembak tepat.

“Faktor itu menyebabkan lokasi terletak kira-kira 400 meter dari kaki bukit di kawasan tersebut adalah berbahaya untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan renjer melakukan rondaan dalam jumlah yang kecil.

“Disebabkan tiada rondaan, maka kem di situ yang terletak di atas bukit yang curam serta hutan sederhana tebal di bahagian Malaysia tetapi landai di sebelah Thailand sehingga boleh dimasuki kenderaan, sudah beroperasi sejak 2013 tanpa disedari pihak berkuasa,” lapor Utusan.

Laporan laman The Straits Times pula memetik kenyataan angotta PGA yang hairan kerana isu mengenai kewujudan kem tersebut baru didedahkan pada masa ini.

Anggota berkenaan, yang enggan dinamakan dilaporkan berkata, mereka menemui kem tersebut selepas penahan sekumpulan pendatang asing pada Januari lalu.

Polis tahan 16 anggotanya

Menurut laman tersebut, seorang lagi pegawai PGA menyatakan bahawa kem tersebut ditemui sejak November.

“Bila kami temui kem ini, terdapat kira-kira 50 orang, dipercayai warga Rohingya dan Bangladesh, terkurung.

"Mereka nampak lemah dan kebuluran,” katanya seperti dipetik dalam laman tersebut.

Seramai 16 anggota polis dari pelbagai pangkat dilaporkan ditahan setakat ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan tersebut.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Datin Asmawati Ahmad mengesahkan penahanan itu, lapor Harian Metro Online.

Penahanan ke atas 12 orang anggota dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala selebihnya oleh pasukan polis sendiri, lapor laman itu hari ini.

Lihat Komen
ADS