Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GST untuk selamatkan k'jaan, kata Dr M
Diterbitkan:  May 29, 2015 11:21 AM
Dikemaskini: 5:34 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menampung beban hutangnya.

Katanya, hutang ini ditanggung melalui syarikat seperti 1Malaysia Development Berhad dan Pembinaan PFI Sdn Bhd.

"Sudah tentulah usaha seperti 1MDB dan Pembinaan PFI hanya menyebabkan hutang yang tidak dapat ditanggung.

"Apabila syarikat ini mengalami kerugian, beban kewangan kerajaan akan meningkat.

"Dengan memperkenalkan GST, kerajaan sebenarnya meminta orang ramai, termasuk yang tidak sepatutnya dikenakan cukai pendapatan untuk menyelamatkan kerajaan,” katanya.

Mahathir menyatakan demikian dalam tulisan terbaru di blognya, chedet.cc hari ini.

Kedua-dua 1MDB dan Pembinaan PFI dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan masing-masing menanggung hutang RM42 bilion dan RM27 bilion.

Mahathir berkata kerajaan tidak perlu memperkenalkan GST jika ia mampu mengurus kewangannya dengan baik.

Jadi miskin untuk memperkaya kerajaan

“Kerajaan boleh mengelak dari mengenakan cukai tambahan ini ke atas rakyat jika ia mengurangkan kosnya.

"Menaikkan gaji tanpa peningkatkan produktiviti, menambah jumlah hari cuti, mengganti cuti pada hujung minggu, menetapkan gaji minimum yang tinggi, membazir wang pada kemewahan...

“Semua ini meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan meningkatkan defisit,” katanya.

Tambahnya, langkah yang lebih baik adalah mendidik dan melatih pekerja untuk pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.

Mahathir juga menjawab rungutan kerajaan ke atas peniaga yang menaikkan harga barangan walau perniagaan tersebut tidak dikenakan GST.

"Walaupun apa yang (pengguna) beli tidak dikenakan GST, pemborong yang membekal barangan kepada penjual terpaksa menaikkan harga kerana mereka perlu membayar GST.

"Penjual terpaksa menampung kos tinggi dengan mengenakan harga lebih tinggi kepada pelanggan mereka. Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung kos GST,” kata Mahathir.

Tambahnya, pelaksanaan GST itu akhirnya akan mengurangkan kuasa beli pengguna.

"Dalam kata lain, mereka menjadi lebih miskin demi memperkayakan kerajaan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS