Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekalan elektrik luar bandar

Selepas bertahun-tahun program bekalan elektrik luar bandar dilaksanakan, kegagalan pelaksanaan dalam kemampanan program ini akan ditangani dalam RMK11.

AWER gembira cadangan kami untuk melibatkan masyarakat luar bandar supaya mereka dilatih untuk mengendalikan dan menyelenggara sistem ini telah diterima pakai dalam RMK11.

Hanya dengan kaedah ini, jangka hayat operasi sistem luar grid boleh dioptimumkan serta mewujudkan pekerja separa mahir dan pekerja mahir di kalangan komuniti luar bandar.

Isu pelepasan karbon

AWER menegaskan bahawa prestasi alam sekitar tidak boleh ditanda aras dengan pelepasan karbon atau gas rumah hijau (GHG) semata-mata menerusi pelbagai platform.

Prestasi alam sekitar adalah ditentukan oleh pelbagai parameter. Dalam RMK11, wujudnya kekurangan mekanisme penilaian prestasi alam sekitar yang mutlak untuk pembangunan hijau (green growth).

Menanda aras prestasi alam sekitar dengan menggunakan parameter tegar akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang toksik di mana  akan berlakunya kos tambahan untuk menguruskan sisa-sisa ini.

Tambahan pula, mekanisme Sustainable Consumption and Production (SCP) tidak mengguna pakai parameter alam sekitar yang lain sebagai petunjuk.

Oleh itu, rancangan dan projek sebegini tidak boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada pembangunan lestari.

Pembangunan hijau bukan hanya pada warna semata-mata; terdapat banyak penyelesaian-penyelesaian dan teknologi yang dapat meningkatkan prestasi alam sekitar Malaysia.

Siapakah yang telah memesongkan kerajaan dalam inisiatif pembangunan lestari? Teknologi rendah karbon tidak bersamaan dengan penyelesaian lestari.

Sistem pengangkutan awam bersepadu

AWER berpendirian teguh dengan pendapat kami bahawa pengurangan tertinggi dalam penggunaan tenaga oleh sektor pengangkutan adalah melalui sistem pengangkutan awam bersepadu.

Penjimatan akan meningkat lagi jika sistem ini dilengkapi dengan kenderaan pengangkutan awam (bas, LRT, MRT) yang cekap dalam penggunaan tenaga. Ini juga akan membawa pengurangan pelepasan karbon yang lebih besar daripada sektor pengangkutan.

Isu sambungan juga merupakan satu lagi isu penting yang AWER telah bangkitkan. Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) perlu memastikan sambungan sehingga ke laluan terakhir (last mile connectivity) yang betul dengan kekerapan pengangkutan awam yang tinggi.

Jika sambungan ke laluan terakhir adalah rendah, penggunaan kereta persendirian akan meningkatkan kesesakan lalu lintas dan penggunaan tenaga.

Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang telah diterima pakai di bawah RMK11adalah satu lagi mekanisme yang telah dicadangkan oleh AWER untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan.

Kami juga ingin memberikan amaran mengenai percubaan oleh kumpulan berkepentingan untuk memasukkan kenderaan electrik (EV) sebagai sebahagian daripada inisiatif EEV. Jumlah pelepasan karbon dari EV masih lebih tinggi daripada kenderaan konvensional.

Apabila Penilaian Kitar Hayat (LCA) digunakan untuk menilai EV, prestasi alam sekitar EV jatuh ke tahap yang lebih rendah lagi. AWER menyeru kerajaan persekutuan agar lebih teliti dalam memilih mekanisme yang betul untuk meningkatkan prestasi alam sekitar negara.

Akses pada gas asli

Satu langkah penting untuk mengurangkan herotan pasaran harga tenaga adalah dengan meningkatkan harga gas asli paip untuk mencerminkan harga pasaran

Namun, apakah harga gas asli paip yang sebenar?

Adakah perbezaan harga di antara gas asli paip dan Gas Asli Cecair (LNG) sama dengan kos memproses LNG? Adakah terdapat pengiraan telus yang mencerminkan mekanisme harga antarabangsa?

Isu ini perlu ditangani sebelum harga pasaran untuk gas asli paip dicapai. Ini juga isu yang sama yang akan menentukan sama ada akses pihak ketiga akan berjaya atau tidak.

Bahan api bersih untuk sektor pengangkutan

Selepas bertahun-tahun, kualiti bahan api bagi sektor pengangkutan akhirnya akhirnya meningkat dan menuju ke arah yang betul. Tahun lepas, AWER telah menekankan bahawa kualiti bahan api yang lebih rendah akan meningkatkan kos penyelenggaraan dan menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi.

Kami berpuas hati bahawa cadangan kami untuk meningkatkan standard bahan api bagi petrol dan diesel telah diterima pakai di RMK11.

Bagi program B15 untuk diesel, adakah kajian yang terperinci telah dilakukan bagi memastikan Malaysia tidak mengalami krisis makanan-bahan api seperti apa yang pernah berlaku di Brazil?

Tarif galakan feed-in-tariff/FiT)

Negara yang memulakan FiT akhirnya mengakui bahawa mekanisme ini mempunyai masalah.

Kami telah memberi amaran awal pada tahun 2011 kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas masalah berkaitan FiT yang mungkin timbul.

Amaran ini dibuat sebelum Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui diperkenalkan.

AWER menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) tetapi FiT adalah seperti dadah. Apabila ia dikurangkan atau dihentikan, industri RE tidak akan berkembang.

FiT bukanlah cara yang sesuai untuk membangunkan industri RE dan ramai menggunakan mekanisme yang salah.

Tambahan pula, Perjanjian Pembelian Tenaga RE (REPPA) ditandatangani selama 21 tahun. Jika Akta Anti Pencatutan digunakan untuk menyiasat kadar keuntungan di bawah FiT, sebagai contoh Solar Photovoltaic (PV), kita akan mendapati, kadar keuntungannya adalah lebih tinggi berbanding dengan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) generasi pertama.

Selain itu, pembangunan biomas atau biogas perlu dibiayai melalui proses pembidaan yang betul untuk memastikan daya maju projek serta pembangunan RE tidak berasaskan pencatutan.

Sesetengah pihak akan mendakwa bahawa impak negatif telahpun berlaku kerana REPPA ditandatangani untuk tempoh selama 21 tahun, walau FiT untuk PV akan dihentikan pada tahun 2017.

RE tidak boleh dibangunkan dengan merompak golongan miskin untuk membayar yang kaya.

Rangka kerja tarif lebih mampan

Kos penjanaan adalah komponen kos terbesar dalam tarif elektrik. Berdasarkan tarif purata terkini, 36.80 peratus adalah kos bahan api dan 29.74 peratus adalah caj kapasiti. Melanjutkan PPA loji janakuasa lama akan menyebabkan komponen kos bahan api kekal tinggi dan pelepasan karbon yang lebih tinggi.

Selain itu, pembidaan kompetitif tidak dilakukan selepas proses pembidaan Track 3B dengan alasan bahawa Suruhanjaya Tenaga juga menggunakan mekanisme Rundingan Terus dan Pembidaan Terhad.

Apabila  Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 dikaji dengan teliti, Rundingan Terus dan Pembidaan Terhad tidak disebut, walaupun dalam nota kaki. Adakah Suruhanjaya Tenaga mengelirukan orang ramai, Kabinet dan Parlimen?

Bagaimanakah tarif mampan boleh dicapai jika Suruhanjaya Tenaga bukan sahaja melanggar segala ikrar dalam RMK10 malah turut meletakkan batu asas pada tahun 2015 untuk melanggar segala sandaran dalam RMK11?

Isu kelewatan dalam pembinaan loji janakuasa, pelanjutan PPA loji lama, keteguhan loji, kegagalan menjangka kelewatan projek dan banyak lagi isu berkenaan dengan sektor penjanaan akan dikaitkan dengan Suruhanjaya Tenaga.

Suruhanjaya ini akan dipersalahkan sebagai sebagai entiti tunggal yang akan menyebabkan kegagalan jaminan tenaga dan kos tarif yang tinggi.

Adakah kerajaan persekutuan akan mengambil tindakan terhadap individu atau agensi yang terlibat?

Menambahbaik pengurusan permintaan

Tiada bukti bahawa program SAVE dalam RMK10 dapat mengurangkan pelepasan karbon. Program SAVE bukan satu program gantian bagi peti sejuk dan penyaman udara. Malah disebabkan kegagalannya yang ketara, mekanisme seperti ini telah dielakkan daripada diguna pakai dalam Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (NEEAP) yang baru.

Selepas desakan berterusan daripada AWER, Piawaian Pencapaian Minimum Tenaga (MEPS) dan label penarafan bagi peralatan elektrik terpilih telah diperkenalkan di Malaysia.

Mekanisme MEPS terus diperluaskan bagi lebih banyak peralatan di bawah RMK11 dan ia adalah selaras dengan seruan kami untuk memperkenalkan MEPS untuk pelbagai produk secara meluas.

Pensijilan Pengurusan Tenaga ISO 50001 adalah bertindih dengan ISO 14001. Malah di bawah siri ISO 14000, penggunaan Penilaian Kitar Hayat (LCA) memberikan output yang lebih baik untuk pengusaha industri bertukar kepada pembuatan lestari. LCA seharusnya diguna pakai sebagai hala tuju yang betul.

Usaha untuk menyertakan kecekapan bangunan, kecekapan thermal dan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan dalam DSM adalah langkah yang selaras dengan seruan AWER untuk Pengurusan Permintaan yang holistik.

Bagaimanapun, pelan induk DSM perlu dibangunkan dengan penglibatan semua pihak berkepentingan dan bukannya entiti "pak turut" dan kumpulan vested interest sahaja.

Penyusunan semula institusi sektor awam

Untuk sektor tenaga dan teknologi hijau, SEDA dan Yayasan Hijau boleh ditutup pada tahun 2015. Fungsi SEDA boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga. Sementara itu, fungsi Yayasan Hijau boleh dijalankan oleh GreenTech Corporation Malaysia.

SEDA diilhamkan kerana politik pejabat dan bukannya keperluan dasar negara yang sebenar. Akta RE telah disediakan sebelum 2011 oleh Pusat Tenaga Malaysia (kini GreenTech Corporation Malaysia).

Adalah amat menyedihkan apabila Kabinet dan Parlimen dipermain-mainkan oleh individu yang bersubahat dalam pembentukan SEDA.

Kini, memandangkan terdapat exit policy dalam RMK11, pegawai sebegini perlu dikeluarkan daripada perkhidmatan kerajaan. Yayasan Hijau pada dasarnya melakukan beberapa kerja yang sebelum ini dilakukan oleh GreenTech Corporation Malaysia.

Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menunjukkan teladan dengan menutup kedua-dua agensi bertindih ini yang berada di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Kesimpulan

Suruhanjaya Tenaga menunjukkan risiko yang serius dalam jaminan tenaga dalam perjalanan Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Kami dapat ramalkan krisis tenaga sistemik sehingga ke tahun 2020 yang disebabkan oleh ketidakcekapan di Suruhanjaya Tenaga. Kerajaan Persekutuan perlu menangani masalah utama di Suruhanjaya Tenaga termasuk ketidakcekapan modal insannya.

Di samping itu, ia adalah penting untuk kerajaan mengkaji pelan induk dan pelan tindakan berkaitan tenaga yang telah dirangka semasa Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10.

Peruntukan tidak boleh dibazirkan dengan melantik perunding yang menghasilkan laporan dan pelan tanpa hasil sebenar yang hanya memenuhi kehendak kumpulan berkepentingan sahaja.

Oleh itu, pelan induk DSM perlu telus dan meliputi pihak berkepentingan sebenar, dan bukannya pak turut dan pak turut sahaja.


S PIARAPAKARAN presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Komentar ini berdasarkan kepada laporan dan cadangan yang diterbitkan oleh AWER berbanding dengan maklumat di dalam RMK11 (dibaca bersama dengan Kertas-kertas Strategi oleh EPU), RMK10 dan RMK9.

Baca bahagian pertama: Langat 2 mungkin jadi 'gajah putih'

Lihat Komen
ADS