Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Legenda bola sepak Pele menasihatkan Malaysia untuk kerap mengadakan perlawanan di luar negara untuk mengelakkan daripada hanya menjadi jaguh kampung.

Menurut beliau pendedahan daripada bermain di gelanggang lawan mampu memberikan kelebihan kepada semangat, taktikal dan mutu permainan sesebuah pasukan.

"Saya fikir nasihat terbaik yang boleh saya berikan ialah pastikan ada peluang bermain di luar negara.

“Suasananya berlainan. Kadang-kadang pasukan anda amat baik di tempat sendiri tapi bila berhadapan dengan pasukan lain di tempat mereka, ia sebaliknya," kata beliau hari ini.

Pele, penyerang dengan rekod jaringan lebih 1,200 gol, muncul dalam sesi pertemuan dengan Harimau Malaya dan media anjuran 100 Plus di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau membawa Brazil memenangi piala dunia pertama mereka pada 1958 ketika berusia 17 tahun.

Pele hari ini menghabiskan masa kira-kira 90 minit beramah mesra dalam acara dikendalikan bekas tonggak Manchester United, Paul Parker.

Pele berkata, semakin hebat sesebuah pasukan itu, semakin kuat tekanan yang dihadapi mereka.

Rahsia seribu gol

Pemain yang hebat pula, kata Pele, adalah mereka yang percaya kepada keupayaan sendiri dan rakan sepasukan.

"Saya ingat lagi, ketika memenangi piala dunia 1958, amat mudah bagi saya menjaringkan gol kerana saya hanya berusia 17 tahun.

“Pemain senior seperti Didi dan Garrincha menggalas tekanan tersebut (untuk jaringkan gol).

“Tetapi ketika saya bersedia untuk mengambil sepakan penalti gol keseribu, tangan dan kaki saya menggeletar kerana seluruh stadium Macarena mahukan saya menjaringkan gol kerana saya menggalas tanggungjawab itu," katanya.

Pele yang juga bekas menteri sukan Brazil berkata perkara paling penting dalam sesebuah pasukan bukanlah pemain yang berkemahiran tinggi sepertinya.

Beliau menyatakan aspek persefahaman sebagai pasukan jauh lebih penting dalam memastikan kemenangan.

"Orang ingat saya kerana menjaringkan gol tetapi saya tidak mungkin menjaringkan lebih seribu gol sendirian. Rakan sepasukan saya menjadikan saya nampak hebat.

"Lebih baik mempunyai pasukan yang faham permainan sesama mereka daripada hanya mempunyai satu atau dua pemain hebat," kata beliau.

Lihat Komen
ADS