Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sepp Blatter dipilih semula sebagai Presiden Fifa untuk penggal kelima selepas mengatasi pencabar tunggal dalam pemilihan yang dibayangi dakwaan rasuah dalam dunia bola sepak.

Blatter memenangi pemilihan itu walaupun wujud desakan supaya dia berundur ketika skandal rasuah sedang disiasat AS, Switzerland dan agensi penguatkuasa lain.

Dakwaan itu dianggap krisis terburuk pernah dialami Fifa dalam sejarah 111 tahunnya.

Walaupun mendapat mandat baru - yang tidak meyakinkan - kepimpinan Blatter terus mengundang persoalan baru mengenai kemungkinan berlaku perpecahan dalam sukan bola sepak antarabangsa.

Kemungkinan lain ialah rasa tidak puas hati syarikat penaja yang menuntut supaya badan berkenaan melakukan reformasi.

Pada masa sama pihak berkuasa melihat kemungkinan untuk meluaskan siasatan terhadap dakwaan rasuah berkenaan.

Berdasarkan keputusan diumumkan, Blatter dan Putera Ali Al-Hussein dari Jordan memperoleh undi dua pertiga dalam pusingan pertama dengan penyandang mendapat 113 undi berbanding 73 untuk pencabarnya.

Walaupun undian pusingan kedua boleh diadakan, ia tidak dijalankan apabila Putera Ali mengaku kalah.

Mengulas kemenangan itu Blatter, 79, mengucapkan tahniah kepada perwakilan yang memilih Ali yang dianggap "calon yang baik".

UEFA keluar Fifa?

"Tetapi saya sekarang Presiden Fifa, presiden untuk semua," katanya.

Badan bola sepak Eropah, UEFA menjadi pendesak lantang yang mahu melihat berlaku perubahan dalam Fifa.

Presiden UEFA Michel Platini malah menyatakan kemungkinan Eropah akan memboikot Piala Dunia.

Ada juga cakap-cakap yang mendakwa UEFA akan berpisah daripda Fifa walaupun kemungkinan itu sangat kecil. Namun pemerhati berpedapat segala kemungkinan boleh berlaku.

Masa depan Blatter bergantung kepada reaksi penaja utama Fifa yang terganggu dengan penangkapan beberapa pegawai badan itu di Zurich pada Khamis lalu.

Pendakwa AS mengumumkan beberapa pegawai dan syarikat didakwa atas kesalahan rasuah.

Salah satu penaja utama Fifa, Anheuser-Busch yang mengeluarkan Budweiser berkata, mereka berharap presiden baru akan menyelesaikan isu dalamab segera serta melakukan perubahan positif, selain mengamalkan standard etika yang tinggi.

Tidak ketinggalan diberi perhatian, isu ketelusan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS